PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan siasatan insiden tiga lelaki yang ditembak mati di Durian Tunggal, Melaka pada 24 November lalu akan dilakukan secara menyeluruh dan mengikut prosedur.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pasukan siasatan khas yang ditubuhkan Bukit Aman mempunyai tertib dan proses kerja tersendiri dalam melaksanakan siasatan.
“Saya percaya keluarga telah melalui peguam dan bercakap tentang adanya rakaman audio dan sebagainya. Semua itu akan dibawa ke dalam siasatan, termasuk keterangan daripada pasukan polis yang terlibat dalam operasi itu.
“Itu merupakan ruang lingkup jawatankuasa siasatan khas yang telah diumumkan oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar.
“Saya tidak akan jump the gun mereka ada proses kerja untuk mengambil keterangan dan akan mengikut prosedur pasukan polis,” katanya dalam sidang media selepas Himpunan Bulanan KDN, hari ini.
Menurut beliau, pasukan khas itu akan menjalankan siasatan berpandukan semua prosedur sedia ada, termasuk mengambil keterangan daripada semua pihak berkaitan.
“Kalau ada pihak yang terlibat, ia berdasarkan keterangan dan penemuan pasukan khas. Dalam pasukan polis ada pelbagai prosedur, ada standing order IGP dan macam-macam peraturan,” jelasnya.
Saifuddin berkata,beliau tidak akan campur tangan dalam proses siasatan, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa berkenaan untuk menentukan hala tuju siasatan.
“Apabila jawatankuasa itu berfungsi dan mengambil keterangan, mereka akan tentukan hala tuju siasatan. Jadi sebagai menteri, tidak wajar untuk saya mengklasifikasikan siasatan bawah mana-mana seksyen. Itu sudah masuk bidang kuasa penyiasat,” katanya.
Semalam, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima rakaman audio yang didakwa berkaitan insiden tembakan tersebut, diserahkan sendiri oleh ahli keluarga mangsa.
Kumar berkata, bahan bukti itu berada dalam telefon bimbit yang diserahkan kepada polis untuk siasatan.
Penyerahan bukti dilakukan ketika ahli keluarga tiga lelaki terlibat hadir ke Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman pada pukul 10.30 pagi semalam.
Minggu lalu, JSJ Bukit Aman menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat dakwaan ahli keluarga tiga suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan polis dalam insiden berkenaan. – MalaysiaGazette
















