L. Rames, 39, didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah menghendap wanita sedang membuang air dalam tandas stesen minyak di Melaka, 8 Disember lalu.

MELAKA – Padah menghendap wanita sedang membuang air kecil dalam tandas stesen minyak dekat sini Isnin lalu, seorang lelaki didenda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, L. Rames, 39, selepas menerima pengakuan bersalahnya sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja masuk ke tandas perempuan dengan niat hendak menghendap wanita berusia 28 tahun membuang air kecil di stesen Petronas MITC dalam daerah Melaka Tengah pada kira-kira jam 7.30 pagi 8 Disember 2025.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia menghidap penyakit slip disc dan perlu membuat rawatan di hospital.

Timbalan Pendakwa Raya, Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib bagaimanapun memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Selepas mendengar hujah kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM4,000 atau enam bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast