KUALA LUMPUR – Permohonan Pengerusi Eksekutif Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamed untuk mendapatkan semula pasportnya bagi tujuan perjalanan ke United Kingdom (UK) mendapat bantahan pasukan pendakwaan di Mahkamah Sesyen, hari ini.
Difahamkan melalui peguam mewakili Abu Shahid, permohonan mendapatkan pasport dibuat semalam namun mendapat bantahan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Suzana Hussin.
Abu Sahid berhasrat menemani anak perempuannya yang dijadual memulakan pengajian di sebuah universiti di London bulan depan.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Aznika Anas, pihaknya akan membantah dengan memfailkan satu afidavit bantahan dalam masa terdekat.
Suzana Hussin kemudian menetapkan 17 Disember depan sebagai tarikh pendengaran permohonan terbabit.
Mahkamah turut membenarkan permohonan peguam agar anak guamnya dikecualikan daripada hadir pada prosiding tersebut.
Abu Sahid, 74, sebelum ini didakwa dengan lima pertuduhan pecah amanah (CBT) dan 13 pertuduhan pengubahan wang haram, kesemuanya masih menunggu perbicaraan selepas pertuduhan difailkan pada September tahun ini.
Pertuduhan CBT membabitkan jumlah RM458 juta, manakala pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan RM139 juta. Kesemua 18 pertuduhan itu berkaitan projek pembinaan Maju Expressway Extension.
Pertuduhan CBT dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun serta denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, pertuduhan pengubahan wang haram difailkan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram, yang jika sabit salah memperuntukkan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai hasil aktiviti haram. -MalaysiaGazette
















