Dr Zuhan Zain

JOHOR BAHRU – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan perlu belajar bersyukur, bermuhasabah dan menghargai sumbangan Pakatan Harapan (PH) sebelum melahirkan rasa kecewa terhadap gabungan itu di Negeri Sembilan.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Dr Zuhan Zain berkata, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan kecewa berhubung pembahagian jawatan politik di negeri berkenaan sedangkan UMNO membolot semua jawatan dalam pentadbiran di negeri itu.

Ketua Amanah Kawasan Kluang itu berkata, Mohamad atau lebih mesra dipanggil Tok Mat itu tidak sepatutnya melihat contoh atau merujuk apa yang sedang berlaku di negerinya sahaja.

“Tok Mat wajar meneliti situasi negeri lain terlebih dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan mengenai keadilan pembahagian kuasa. Realiti politik di setiap negeri berbeza dan tidak boleh dilihat secara sebelah mata.

“Tok Mat jangan hanya menuding jari tanpa melihat contoh nyata khususnya di Perak bagaimana keterbukaan dan kematangan PH membolehkan Barisan Nasional (BN) diberi mandat menjadi Menteri Besar.

“PH telah menunjukkan sifat bertolak ansur dan mengutamakan kestabilan negeri melebihi kepentingan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Tok Mat seharusnya bersyukur sebagai rakan gabungan dalam negeri-negeri yang ditadbir PH.

Tegas Zuhan, lihat situasi di Johor apabila UMNO menjadi kerajaan sepenuhnya tanpa memberikan sebarang ruang pentadbiran atau perkongsian kuasa dengan PH.

“Di mana keadilan yang Tok Mat tuntut? Sebagai Timbalan Presiden UMNO, Tok Mat perlu menasihatkan parti sendiri terlebih dahulu terutamanya UMNO Johor,” ujarnya.

UMNO Johor, katanya, patut mengamalkan prinsip keadilan yang sama dengan membuka ruang kepada PH jika benar semangat kerajaan Perpaduan mahu dipertahankan.

“Justeru, Tok Mat tidak wajar mengamalkan budaya mengata dulang paku serpih. Sebaliknya, beliau perlu belajar mengenal erti syukur, menghargai sumbangan rakan gabungan dan tidak meletakkan kesalahan pada pihak lain tanpa melihat kekurangan sendiri.

“Amanah Johor menegaskan keharmonian dan kestabilan dalam kerajaan Perpaduan hanya dapat dicapai sekiranya semua parti termasuk UMNO bertindak matang, adil dan saling menghormati.

“Jangan hanya menuntut keadilan, tetapi enggan memberi keadilan kepada orang lain,” tambahnya.

Semalam Tok Mat melahirkan rasa kecewa berhubung pembahagian jawatan politik di Negeri Sembilan yang didakwanya tidak selaras dengan semangat kerjasama seperti diamalkan di peringkat Persekutuan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu berkata, sepatutnya pembahagian jawatan dilakukan secara adil dan seimbang sebagaimana yang dipraktikkan dalam Kabinet kerajaan Perpaduan berikutan kerajaan negeri dibentuk secara bersama-sama antara PH dengan BN.

Tok Mat yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, setiap parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan perlu saling menghormati antara satu sama lain.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast