KUALA LUMPUR – Pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bukan agenda baharu kerajaan perpaduan, malah ia pernah termaktub dalam manifesto Barisan Nasional (BN) dan manifesto Buku Jingga yang merangkumi Pas satu ketika dahulu.
Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), S. Liinesh berkata, kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd Hafez Sabri yang menolak usaha mengiktiraf UEC mencerminkan pendirian kedua-dua mereka bercanggah dengan rekod parti masing-masing.
Beliau berkata, kenyataan dua pemimpin itu bukan sahaja bermotifkan politik sempit, malah cuba menjejaskan usaha awal kerajaan untuk membawa agenda reformasi pendidikan.
“Motif Dr Akmal Saleh yang mendakwa bahawa kewujudan sekolah-sekolah menengah persendirian Cina bertentangan dengan sistem pendidikan negara adalah jelas, iaitu cuba sedaya upaya untuk mengeruhkan keadaan pada peringkat awal perbincangan dan membantutkan usaha kerajaan untuk melaksanakan agenda reformasi.
“Pengiktirafan UEC sebenarnya bukan agenda baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan perpaduan, malahan bukan janji Pakatan Harapan (PH) semata-mata,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Liinesh turut menyindir Akmal dengan mengaitkan tindakan lampau ketua Pemuda UMNO itu.
“Jika benar-benar menganggap pengiktirafan UEC sebagai dosa besar, Dr Akmal seharusnya menggerakkan semula skuad polis moral cuma kali ini berkumpul di depan Penjara Kajang untuk ‘mendidik’ Bossku sendiri.
“Pemuda Pas pula boleh berhimpun di pejabat Ahli Parlimen Marang,” katanya.
Beliau mendakwa kedua-dua pergerakan pemuda itu menunjukkan sikap dwi-standard kerana Malaysia sejak sekian lama menerima kelayakan A-Level bagi kemasukan ke universiti awam, walaupun ia tidak menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.
“Jika A-Level boleh diterima, kenapa dasar pendidikan negara dijadikan alasan untuk menghalang pengiktirafan UEC? Ini jelas memperlihatkan hipokrasi,” tegasnya.
Menurutnya lagi, Sabah dan Sarawak bukan sahaja mengiktiraf UEC, malah membenarkan pemegangnya memohon biasiswa negeri serta memasuki universiti di bawah kerajaan negeri.
Katanya, langkah itu sekali gus membuktikan pengiktirafan itu praktikal dan selari dengan keperluan negara.
Liinesh turut menegaskan bahawa isu UEC tidak wajar terus dipolitikkan memandangkan BN dan Pas sendiri pernah menyokongnya.
Justeru, katanya, Kerajaan Perpaduan harus terus berpegang pada manifesto dan tidak tunduk kepada kenyataan berbaur kepentingan politik sempit. – MalaysiaGazette
















