PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memberikan ‘tempoh bertenang’ selama seminggu kepada pihak pendakwaan bagi menyatakan pendirian sama ada rayuan pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan diteruskan atau sebaliknya.
Dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais mencadangkan pihak pendakwaan berbincang bagi mencapai kata sepakat sama ada rayuan itu wajar diteruskan.
“Jika pendakwaan berpendirian bahawa anda masih boleh membuktikan kes dengan segala cara, berpeganglah padanya. Tetapi jika selepas berbincang dan menyemak kes, anda merasakan tidak mahu mengekalkan rayuan, maka anda harus memaklumkan kepada kami.
“Kami tidak membuat sebarang keputusan buat masa ini. Pihak-pihak mesti memberitahu kami dalam masa seminggu. Jika tiada petunjuk, kami akan menyampaikan keputusan,” ujar beliau.
“Kami hanya perlu memaklumkan pihak-pihak apabila mahkamah membuat keputusan. Sama ada anda berada di Pulau Caribbean bukanlah kebimbangan kami.
“Anda mungkin mahu berada di tempat eksotik, sejujurnya kami tidak peduli pun. Sama ada anda berada di sini atau tidak, kami akan menyampaikan keputusan,” ujar beliau.
Hakim Abu Bakar selanjutnya menyatakan, ketiga-tiga hakim yang menganggotai panel tersebut akan menulis alasan penghakiman sama ada rayuan dibenarkan atau ditolak.
“Saya berharap kedua-dua pihak akan mengambil perhatian mengenai perkara ini. Tiada lagi representasi, saya hanya mahu mengetahui pendirian mengenai perkara tersebut,” ujar beliau.
Arahan di luar kebiasaan itu dibangkitkan oleh Hakim Abu Bakar ketika bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah bagi mendengar rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq.
Beliau turut mengarahkan pihak pendakwaan memfailkan penghujahan bertulis tambahan dalam tempoh seminggu diikuti hujahan balas pihak pembelaan, seminggu kemudian.
Sementara itu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik pada sidang media sejurus mahkamah ditangguhkan, menyifatkan saranan panel berkenaan sebagai sesuatu yang di luar jangkaan.
“Ini adalah sesuatu yang tidak dijangka, namun saya tidak mahu mengulas lanjut,” katanya di lobi Istana Kehakiman di sini.
Hisyam selanjutnya berkata, pihak pembelaan baru sahaja menyelesaikan penghujahan di hadapan panel bersidang dan menghargai ruang masa yang diberikan oleh mahkamah.
“Kami bersyukur dan berterima kasih kepada barisan hakim Mahkamah Persekutuan yang memberikan kami masa yang mencukupi untuk mengemukakan hujahan dan pendirian kami,” ujarnya.
Terdahulu, panel itu selesai mendengar penghujahan lisan kedua-dua pihak dalam rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan RM1 juta dana Armada.
Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan. – MalaysiaGazette
















