Polis merampas pisau serta beberapa telefon bimbit bagi membantu siasatan.

BUKIT MERTAJAM – Polis merampas sebilah pisau yang dipercayai digunakan seorang lelaki untuk membunuh isterinya sebelum mayat wanita itu dibiarkan terbaring di atas tilam kira-kira empat hari di pangsapuri Jalan Tuna, Seberang Jaya di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, mayat mangsa ditemui selepas suspek tampil menyerah diri jam 11.30 pagi dan mengaku telah membunuh isterinya di rumah mereka.

Susulan pengakuan itu, katanya, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah SPT dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring lengkap berpakaian di atas tilam dalam sebuah bilik tidur dan dipercayai telah meninggal dunia beberapa hari lalu.

“Pasukan Forensik D10, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang yang menjalankan pemeriksaan turut mengambil beberapa sampel berkaitan termasuk sebilah pisau yang dipercayai digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah beliau, tangkapan terhadap suspek dibuat semalam dan dia dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini bagi permohonan reman.

“Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti motif dan punca kejadian.

“Selain itu, saya juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi serta menggesa mana-mana saksi yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Tak sangka mama mati dibunuh bapa tiri – Anak mangsa

MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang lelaki tampil ke balai polis berhampiran memaklumkan telah membunuh isterinya empat hari lalu di kediaman mereka.

Hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita beusia 44 tahun itu di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan dengan kesan kelar pada bahagian leher.

Susulan itu, polis memberkas suspek berusia 28 tahun yang juga pengganggur bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast