SEBERANG JAYA – Wanita berusia 44 tahun yang ditemui mati dibunuh di kediamannya di pangsapuri Jalan Tuna, di sini, semalam dipercayai dikelar terlebih dahulu sebelum dilemaskan oleh suaminya.
Pakar Perunding Patologi Hospital Pulau Pinang, Datuk Dr. Zahari Noor berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mengalami satu luka hirisan pada bahagian depan leher selain tanda-tanda sesak nafas.
“Kecederaan itu berkemungkinan disebabkan pisau pemotong kertas kerana lukanya tidak dalam tetapi ada pendarahan.
“Bagaimanapun, punca utama kematian adalah unsur lemas dipercayai akibat tekanan pada mulut dan hidung menggunakan kain atau bantal,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik Hopsital Seberang Jaya, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kecederaan leher dipercayai berlaku terlebih dahulu sebelum mangsa mengalami proses lemas yang membawa kepada asfiksia.
“Selain itu, hasil bedah siasat turut menganggarkan mangsa sudah meninggal dunia kira-kira empat hari ketika ditemui semalam,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
“Saya minta maaf, ayah” – Suspek kes bunuh, simpan mayat isteri
MalaysiaGazette semalam melaporkan, seorang lelaki tampil ke balai polis berhampiran memaklumkan telah membunuh isterinya empat hari lalu di kediaman mereka.
Hasil pemeriksaan polis membawa kepada penemuan mayat wanita beusia 44 tahun itu di dalam salah sebuah bilik rumah berkenaan dengan kesan kelar pada bahagian leher.
Susulan itu, polis memberkas suspek berusia 28 tahun yang juga pengganggur bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















