Jaguh gimnastik artistik lelaki, Muhammad Sharul Aimy. Foto FB MSN.

KUALA LUMPUR – Skuad gimnastik negara terus mempamerkan aksi cemerlang apabila menyumbang dua pingat emas menerusi acara melombol lelaki dan batang titian wanita di Sukan SEA Thailand 2025, hari ini.

Jaguh gimnastik artistik lelaki, Muhammad Sharul Aimy membuat kejutan apabila aksi memukaunya meraih pingat emas dalam dengan catatan 13.833 mata yang disifatkan sebagai kemenangan dramatik.

Atlet kelahiran Terengganu itu hanya dipisahkan 0.016 mata dengan pemenang pingat perak dari Filipina, Cruz John Ivan yang mengutip 13.817 mata dan pingat gangsa menjadi milik atlet tuan rumah, Tikumporn Surintornta (13.717).

Gimnas wanita, Yeap Kang Xian pula meneruskan aksi luar biasa apabila mendominasi acara batang titian selepas melakukan rutinnya dengan bergaya untuk mencatat mata tertinggi 13.233, jauh meninggalkan pesaing dari Singapura, Amanda Yap Ee Lin (12.733) yang meraih perak.

Sementara itu, bintang Filipina, Aleah Finnegan yang juga peserta Olimpik terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas mencatat 12.467 mata.

Semalam, Malaysia meraih pingat emas menerusi Rachel Yeoh Li Wen dalam acara palang bertingkat. – MalaysiaGazette

Gimnas wanita, Yeap Kang Xian. Foto FB MSN.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast