KUALA LUMPUR – Tun Dr. Mahathir Mohamad terus mengkritik Perjanjian Perdagangan Timbal Balik (ART) yang ditandatangani Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) dengan menyamakan ia sebagai Malayan Union baharu.
Bekas perdana menteri dua kali itu menegaskan, rakyat Malaysia dan orang Melayu perlu takut dengan penjajahan semula ini kerana menerusi ART, negara ini dipaksa oleh AS.
Bagaimanapun, katanya, cabaran yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan orang Melayu kali ini bukan kecil.
Jelas beliau, ART ini tidak ada beza dengan perjanjian Malayan Union kerana apabila negara menyerahkan kedaulatan, ia akan menghakis hak Melayu dan bumiputera, mengenepi Kedaulatan Raja-Raja Melayu serta negeri-negeri yang bergabung di dalam Persekutuan.
Lantaran itu, Dr. Mahathir menyeru orang Melayu untuk kembali bersatu dan pertahankan kedudukan kita sebagai bangsa teras negara ini.
“Jika di tahun 1946, ketika kita di dalam serba kekurangan berjaya menentang Malayan Union semata-mata kerana kita bersatu, ini bermakna hanya dengan bersatu juga kita
mampu menentang ART dan juga mempertahankan kepentingan Melayu/bumiputera sebagai bangsa teras.
“Saya cuma minta orang Melayu bersatu demi masa depan bangsa, agama dan tanah air. Bagi anak-anak muda, ingatlah. Segala pengkhianatan sekarang hasilnya akan
ditanggung oleh kamu,” katanya ketika ucapan dasar dan perasmian Konvensyen Melayu 153 di sini hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir mendakwa ART yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 bersifat berat sebelah serta memihak kepada kuasa luar dan menjadikan Malaysia seolah-olah negeri naungan AS, sekali gus mengorbankan kebebasan berdagang dengan negara lain.
Beliau yang menganggap perjanjian berkenaan sebagai penjualan hak kebebasan memilih Malaysia, turut mempersoalkan klausa keluar dan campur tangan AS dalam pelbagai sektor termasuk pemakanan, pertanian, ketenteraan dan nadir bumi, serta mendakwa perjanjian melanggar Perlembagaan dan hak bumiputera.
Dakwanya, ART melanggar peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan, hak dan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak-hak Melayu dan Bumıputera serta mengenepikan hak-hak Kerajaan Negeri (Senarai Negeri).
Dakwa beliau lagi, hampir keseluruhan ekonomi negara dikorbankan, demi mendapat pujian daripada Presiden Donald Trump.
Namun, kerajaan mempertahankan ART sebagai peluang akses pasaran lebih luas, dengan kadar tarif purata diturunkan daripada 25% kepada 19%.
Bercakap pada konvensyen itu, Dr. Mahathir berkata, beliau akan terus bersuara mengenai isu ini.
“Mana mungkin saya berdiam diri. Jika dulu, generasi saya dan yang sebelum saya berjuang menentang Malayan Union, pengganas komunis dan neo-kolonialisma, apakah saya akan berpeluk tubuh dan membiar sahaja tanah air saya di rampas dan bangsa saya dipinggir dan dijajah semula,” soalnya.
Bahkan, beliau tetap menempak pihak-pihak yang terus mempertahankan ART kerana katanya, rata-rata pemikir di dalam negara, termasuk yang bukan Melayu sedar ART menggadai kedaulatan Malaysia.
Dr. Mahathir turut mempersoalkan kenyataan pihak-pihak tertentu yang mendakwa Malaysia telah menetapkan garisan merah yang tidak boleh dilanggar oleh AS dalam perrjanjian ART terutama berkaitan dengan kepentingan Melayu/bumiputera.
Menyifatkan kenyataan tersebut langsung tidak masuk akal, Dr. Mahathir mempersoalkan sejak bila Amerika Syarikat ambil peduli kepada apa juga syarat atau garisan merah yang ditetapkan oleh negara lain.
Sedangkan, ketetapan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu , organisasi paling tinggi di dunia itu pun dilanggar, dan ada-kalanya dipijak-pijak oleh AS.
“Tiba-tiba Amerika akan hormat kepada syarat dan garisan merah yang ditetapkan oleh Malaysia,” sindir beliau. – MalaysiaGazette
















