Anggota bomba mengusung seorang lelaki yang cedera dalam kebakaran rumah untuk dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

BUTTERWORTH – Lelaki yang cedera dalam kebakaran di Taman Rathna di sini, yang meragut nyawa ibu dan adik angkatnya pada Rabu lalu, kini dilaporkan sudah sedar dan mula bercakap meskipun masih trauma.

Bapa mangsa, Kamarozlan Muhammad, 57, berkata, anak keduanya, Daniel Quyum masih berada di bawah pemantauan pakar selain ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Seberang Jaya.

“Semalam dia sudah buka mata, tetapi masih dalam keadaan trauma. Hari ini keadaannya lebih stabil dan suaranya perlahan-lahan boleh berbicara.

“Daniel juga bertanya tentang ibunya kepada kakak sulung, namun kami menasihatinya supaya tenang dan berehat kerana tidak mahu dia terlalu stres.

“Setiap kali melawat, kami beri kata-kata semangat supaya dia kembali kuat dan pulih dengan cepat,” katanya ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Media pada Rabu lalu melaporkan, seorang wanita dan anak angkatnya ditemui rentung manakala seorang lagi mangsa cedera dalam kebakaran membabitkan kediaman berkembar kelas A dengan kemusnahan dianggarkan 85 peratus.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata selain dua mangsa yang maut, seorang lelaki turut ditemui pada jam 10.21 pagi dalam keadaan cedera dihempap bumbung berhampiran pintu dapur.

Susulan itu, polis mengklasifikasikan kes tersebut sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat dua mangsa rentung serta laporan forensik bomba. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast