KUALA LUMPUR – Mantan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Lai Chen Heng menggesa isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ditangani secara rasional dan berasaskan kepentingan negara, bukannya terus dipolitikkan.
Menurut beliau, isu UEC dibangkitkan semula bukan kerana desakan akar umbi, sebaliknya berpunca daripada keadaan politik semasa, sedangkan kerajaan seharusnya memberi tumpuan kepada penyelesaian isu pendidikan yang lebih mendesak.
“Bagi komuniti Cina, UEC melambangkan pendidikan, identiti dan jaminan masa depan ekonomi. Sebarang gangguan terhadap sistem ini mudah ditafsirkan sebagai ancaman terhadap warisan pendidikan mereka,” katanya dalam kenyataan.
Chen Heng berkata, UEC bukan tuntutan politik, sebaliknya keperluan ekonomi, khususnya bagi membolehkan Malaysia bersaing dan menembusi pasaran global berbahasa Cina termasuk China.
“UEC boleh menjadi jambatan rasmi Malaysia kepada komuniti Cina global, di samping mengekalkan penguasaan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan sistem pendidikan Cina kini semakin diterima oleh semua kaum, dengan peningkatan kemasukan murid Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) kerana kelebihan penguasaan bahasa dalam ekonomi global.
Tegasnya, pengiktirafan UEC juga bukan perkara baharu memandangkan Sabah dan Sarawak telah mengiktiraf sijil tersebut bagi perkhidmatan awam dan institusi pengajian tinggi negeri, tertakluk kepada syarat penguasaan Bahasa Malaysia.
Dalam pada itu, mengulas isu pengurusan sekolah, beliau berkata kebanyakan sekolah Cina dibina dan dibiayai oleh komuniti sendiri, justeru Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan alumni perlu dilihat sebagai rakan strategik kerajaan dalam membangunkan pendidikan.
“Keputusan dasar yang dibuat tanpa kefahaman terhadap peranan institusi komuniti ini boleh menghakis kepercayaan dan menimbulkan salah faham,” katanya.
Dalam pada itu, Chen Heng menegaskan Dong Zong dan sekolah menengah persendirian Cina telah lama menyumbang kepada pembinaan negara dengan melahirkan tenaga kerja berbilang bahasa yang diperlukan ekonomi Malaysia.
“Dong Zong bukan badan baharu. Mereka telah wujud sebelum merdeka dan menguruskan puluhan sekolah menengah persendirian Cina yang menjadi aset pembangunan negara,” katanya.
Beliau turut mengingatkan penyelesaian isu UEC perlu berasaskan Perlembagaan dan merit ekonomi, bukan tekanan politik yang boleh mencetuskan ketegangan kaum.
“Kerajaan perlu menumpukan perhatian kepada isu kronik SJKC seperti kekurangan guru dan peruntukan yang konsisten, agar krisis pendidikan tidak berlarutan.
“Pengiktirafan formal UEC secara bersyarat, termasuk keperluan lulus bahasa Malaysia, adalah langkah praktikal untuk melindungi keharmonian nasional dan pada masa sama memperkukuh daya saing ekonomi negara,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















