MELAKA – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar sikap DAP yang lantang mengkritik penganjuran RXZ Members Ride di Melaka namun memilih untuk berdiam diri dalam isu pemandu mabuk yang jauh lebih serius.
Menurut beliau, kritikan terhadap penganjuran RXZ adalah tidak adil apabila keseluruhan program dihukum hanya disebabkan tindakan segelintir peserta yang melanggar peraturan jalan raya.
“Yang kecam sebab ada segelintir peserta tidak mematuhi peraturan jalan raya, langgar lampu isyarat dan menunggang bertentangan arah, itu patut ditegur dan dikecam kerana melibatkan keselamatan nyawa orang lain.
“Tetapi untuk membuat kesimpulan bahawa penganjuran RXZ ini teruk secara keseluruhan, itu saya tidak bersetuju,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Dalam nada lebih keras, Dr Akmal turut menyindir DAP yang disifatkan sebagai ‘terpaling juara’ mengkritik penganjuran RXZ namun membisu apabila melibatkan isu pemandu mabuk.
“Pesanan saya kepada parti politik yang konon-konon terpaling juara untuk mengkritik RXZ ini, bab pemandu mabuk, kamu senyap membisu pula, bab orang lain kamu bukan main lagi nak kutuk sana sini! Pergi jalanlah sama kau!,” tegasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, adalah tidak wajar untuk menghukum puluhan ribu peserta yang hadir dan mematuhi undang-undang.
“Cuba tanya, daripada berpuluh ribu yang datang, berapa orang sebenarnya yang melanggar undang-undang jalan raya? Saya percaya jauh lebih ramai yang menunggang dengan baik dan berhemah.
“Dalam masa sama, berapa banyak hotel yang menerima tempahan, berapa ramai peniaga kecil yang mendapat keuntungan dan bagaimana kita meraikan minat serta jiwa rakan-rakan permotoran ini,” katanya.
Beliau turut mengingatkan penganjuran RXZ hanya berlangsung selama dua hari dalam setahun dan wajar diberi ruang sebagaimana masyarakat menerima suasana bising ketika musim perayaan utama.
“Sama seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali atau Tahun Baharu Cina, kita boleh bertoleransi dengan bunyi mercun pada malam perayaan kerana kita faham selagi ia tidak mendatangkan bahaya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
RXZ Members Ride ganggu kententeraman, keselamatan awam – DAP Melaka
















