KUALA LUMPUR – Pihak pendakwaan akan memuktamadkan pendirian kepada Mahkamah Persekutuan pada Rabu ini sama ada untuk meneruskan rayuan terhadap pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada kes penyelewengan dana RM1 juta milik Armada.
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberitahu Malaysia Gazette, perkara itu akan dimaklumkan melalui surat secara emel kepada timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan.
“Tiada prosiding di mahkamah terbuka pada hari tersebut, cuma pemakluman secara emel kepada pihak mahkamah.
“Sehubungan itu, pihak pendakwaan dijadual mengadakan perbincangan dengan Peguam Negara bagi mendapat arahan lanjut sama ada untuk meneruskan rayuan atau menggugurkannya.
“Pendakwa Raya di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan mempunyai budi bicara untuk memulakan, menjalankan, meneruskan atau menghentikan prosiding jenayah pada mana-mana peringkat mahkamah,” ujarnya ketika dihubungi portal ini.

Jumaat lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan bagi memuktamadkan pendirian sama ada untuk meneruskan rayuan terhadap Ahli Parlimen Muar berkenaan.
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais memberikan `tempoh bertenang’ bagi membolehkan pihak pendakwaan berbincang dan mencapai kata sepakat sebelum mahkamah menentukan tarikh keputusan rayuan tersebut.
Panel tersebut pada mulanya menetapkan Rabu (17 Disember 2025) untuk pihak-pihak memfailkan hujahan lanjut berhubung isu pertuduhan namun Wan Shaharuddin memaklumkan beliau tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana akan mengerjakan umrah.
Pada peringkat itu, Hakim Abu Bakar menyarankan supaya pihak pendakwaan meneliti semula sama ada rayuan akan diteruskan atau sebaliknya.
Saranan itu dilihat sebagai di luar kebiasaan kerana pihak-pihak telah memfailkan hujahan bertulis manakala penghujahan lisan selesai didengar pada hari tersebut.
“Adakah pihak pendakwaan yakin dan berpendapat bahawa rayuan harus diputuskan oleh mahkamah? Atau pendakwaan perlu menyemak semula rayuan ini?
“Jika pendakwaan berpendirian ia masih boleh membuktikan kes dengan segala cara, berpeganglah padanya tetapi jika selepas menyemak kes, pendakwaan merasakan tidak mahu mengekalkan rayuan, maka keputusan itu harus dimaklumkan kepada mahkamah.
“Kami tidak membuat sebarang keputusan buat masa ini. Pihak-pihak mesti memberitahu kami dalam masa seminggu. Jika tiada petunjuk, kami akan menyampaikan keputusan,” kata beliau.
Panel berkenaan yang selesai mendengar hujahan lisan selama dua hari bermula 11 Disember lalu turut memberi ruang kepada pihak pembelaan untuk mengadakan perbincangan berhubung hala tuju rayuan tersebut.
Ujar beliau lagi, jika pihak pendakwaan berhasrat meneruskan rayuan, mereka diberi tempoh seminggu untuk memfailkan hujahan bertulis tambahan berhubung satu isu berbangkit berkaitan pertuduhan diikuti hujahan balas oleh pihak pembelaan, seminggu kemudian.
Arahan itu dikeluarkan oleh Hakim Abu Bakar ketika bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah selepas selesai mendengar rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq.
Panel itu selesai mendengar penghujahan lisan kedua-dua pihak dalam rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan RM1 juta dana Armada.
Mahkamah Rayuan mengetepikan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana berkenaan.
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan akhir untuk mengembalikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi manakala pembelaan mahukan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq, dikekalkan. – MalaysiaGazette
















