Tangkap layar Ahmed el Ahmad (berbaju putih) dengan berani bergelut dengan salah seorang penyerang sebelum merampas senapang daripada lelaki itu di Pantai Bondi, Sydney, Australia.

LONDON – Seorang pemilik kedai buah mendapat pujian sebagai “wira sejati” kerana berani bergelut dengan seorang penyerang di Bondi Beach dan merampas senjata apinya, lapor PA Media/dpa.

Ahmed al-Ahmed, bapa kepada dua anak, telah dinamakan oleh saudara mara sebagai lelaki yang melawan pengganas itu dalam sebuah video yang tular di media sosial.

Keluarga beliau berkata al-Ahmed, dari kawasan Sutherland di Sydney, masih dirawat di hospital setelah menjalani pembedahan akibat luka tembakan di lengan dan tangannya.

Dalam rakaman itu, lelaki berusia 43 tahun itu kelihatan memakai kemeja-T putih dan mencangkung di belakang sebuah kereta sebelum menerjah penyerang berkenaan dari belakang sebelum bergelut dengannya serta merampas senapang daripada lelaki itu.

Penyerang itu kemudian berundur ke kawasan tempat letak kereta apabila al-Ahmed mengacukan senapang patah itu ke arahnya.

Al-Ahmed kemudian dilihat mengangkat tangannya sebelum menyandarkan senjata itu pada sebatang pokok, berkemungkinan bagi menunjukkan kepada polis bahawa dia bukan seorang daripada penyerang.

Sepupunya, Mustafa, memberitahu 7News Australia: “Dia masih di hospital dan kami tidak tahu apa yang berlaku sekarang, doktor mengatakan dia berada dalam keadaan baik.”

“Kami berharap dia sihat, dia seorang wira, 100 peratus dia seorang wira.”

“Dia terkena dua tembakan, satu di lengan dan satu di tangan, dia terpaksa menjalani pembedahan.”

Premier New South Wales Chris Minns menggambarkan al-Ahmed sebagai “wira sejati”, manakala Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata: “Kita menyaksikan rakyat Australia hari ini sanggup menempuh bahaya untuk membantu orang lain.”

“Rakyat Australia ini adalah wira, dan keberanian mereka telah menyelamatkan nyawa.”

–BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast