Harris Idaham Rashid.

KUALA LUMPUR – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia mendakwa, isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang disifatkan telah lama “sejuk” sengaja dihangatkan kembali oleh DAP atas kepentingan politik sempit.

Ketua Penerangannya, Harris Idaham Rashid menegaskan, Armada berpendirian tegas menolak pengiktirafan UEC bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA), perkhidmatan awam serta sektor berkaitan.

Beliau mendakwa, isu UEC sengaja dimainkan semula susulan kekalahan teruk DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, kononnya bagi meyakinkan masyarakat Cina bahawa parti itu masih konsisten dengan perjuangan asal.

“Kerajaan perlu berhati-hati dan tidak terperangkap dengan apa yang disifatkan sebagai taktik politik DAP yang sekadar “playing to the gallery”.

“Pendekatan ini selari dengan sikap pemimpin DAP sendiri, termasuk kenyataan Presiden DAP, Anthony Loke, yang sebelum ini menuduh Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, ketika UPKO mengambil keputusan meninggalkan gabungan kerajaan terdahulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Harris Idaham turut menekankan kepentingan pemantapan identiti nasional sebagai warganegara Malaysia, khususnya dalam kalangan generasi muda yang dilihat berdepan masalah penguasaan Bahasa Malaysia pada tahap membimbangkan.

Katanya, pengiktirafan UEC berpotensi menyebabkan sebahagian pelajar Cina menganggap Bahasa Malaysia hanya relevan untuk tujuan lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), sekaligus menjejaskan usaha membina semangat patriotisme.

“Bagi membina jati diri dan semangat kebangsaan yang kukuh, sistem pendidikan negara perlu bergerak seiring arus perdana dan tidak wajar mengiktiraf sistem pendidikan swasta yang berada di luar kerangka nasional,” katanya.

Pada masa sama, Harris Idaham menjelaskan, pihaknya menyokong aspirasi menjadikan Malaysia sebuah masyarakat “trilingual” dengan penguasaan kukuh Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris serta Mandarin atau bahasa lain, selaras keperluan daya saing global.

“Penguasaan pelbagai bahasa itu mampu memberi kelebihan kepada rakyat Malaysia dalam pasaran pekerjaan serta memudahkan urusan perniagaan dengan kuasa besar dunia seperti China dan Amerika Syarikat,” ujarnya.

Bagaimanapun tambah beliau, sokongan ke arah masyarakat trilingual tidak sama sekali bermakna pihaknya bersetuju dengan pengiktirafan UEC sebagai jalan mencapai matlamat tersebut, seperti yang sering diperjuangkan oleh pemimpin DAP. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast