KUALA LUMPUR – Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang memperoleh ijazah dan memasuki pasaran lebih awal berbanding laluan konvesional menerusi Program Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Penerbangan (Kepujian) Fast Track.
Program berkenaan merupakan suntikan baharu hasil kerjasama strategik antara Aviation Career Malaysia (ACM), Kolej Antarabangsa MEATECH dan Kolej Universiti Inovatif (IUC) yang yang menawarkan pengajian pantas selama tiga setengah tahun.
Pengarah Pemasaran YEG Academy, Azizulhakim Suhaimi berkata, kerjasama tiga institusi itumenggabungkan kepakaran akademik dan industri bagi melahirkan graduan yang bersedia bekerja dalam sektor penerbangan.
“ACM bertindak sebagai penyedia latihan berteraskan industri, MEATECH menguruskan pembelajaran di peringkat awal manakala IUC bertanggungjawab dalam penganugerahan ijazah serta penyelarasan kurikulum akademik.
“Melalui pengiktirafan kredit pembelajaran diploma, tempoh pengajian ijazah dapat dipendekkan tanpa menjejaskan kualiti pendidikan” katanya dalam sidang media selepas Majlis Konvokesyen Kolej Universiti Innovatif kali ke 11 di Putrajaya International Convention Centre (PICC) hari ini.
Sementara itu, Pengarah MEATECH, Che Rozaina Azizan berkata, program tersebut dibangunkan berdasarkan keperluan sebenar industri penerbangan yang memerlukan tenaga kerja terlatih dan profesional.
“Rekod sebelum ini menunjukkan hampir 99 peratus graduan program latihan ACM–MEATECH berjaya mendapat pekerjaan dalam industri penerbangan, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap keberkesanan model pendidikan ini.
“Graduan berpeluang menceburi pelbagai bidang termasuk pengendalian darat, operasi lapangan terbang, perkhidmatan kabin, pengurusan keselamatan serta operasi penerbangan” ujarnya.
Selain bidang teknikal, program ijazah itu turut membuka peluang kerjaya dalam aspek pengurusan dan pentadbiran penerbangan seperti sumber manusia, dasar penerbangan, pengurusan operasi, keselamatan serta perkhidmatan dalam penerbangan.
Pendekatan itu menjadikan program berkenaan sesuai untuk pelajar yang berminat membina kerjaya jangka panjang dalam sektor penerbangan, sama ada peringkat operasi mahupun pengurusan.
Bagi memastikan akses pendidikan yang lebih inklusif, Yayasan Pendidikan Kasih Malaysia (YPKM) turut menyediakan derma siswa separa kepada 500 pelajar baharu khususnya daripada golongan B40 dan M40 bagi meringankan beban kewangan pelajar.
Struktur program dibangunkan melalui pemetaan kurikulum dan pemindahan kredit yang menyeluruh antara peringkat diploma dan ijazah, selaras dengan keperluan dan piawaian Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Pengambilan pertama bagi program diploma dan ijazah fast track ini dijadualkan bermula pada April 2026 dengan sasaran seramai 700 pelajar baharu yang menjadi langkah strategik dalam menyokong pertumbuhan industri penerbangan negara dan memenuhi permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi. – MalaysiaGazette
















