Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali

SHAH ALAM – Usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali menafikan dakwaan beliau sebagai scammer dalam proses pembelian tanah.

Beliau yang dikenali sebagai Azlan Al Amin sebaliknya menegaskan, isu itu timbul berikutan proses pemulangan wang pembatalan pembelian yang mengambil sedikit masa.

Tegas beliau, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya adalah tidak berasas kerana kelewatan pemulangan wang tunai kepada pelanggan kerana ia melibatkan nilai yang besar dan proses perundangan serta perakaunan yang rumit.

“Kelewatan yang berlaku adalah kerana proses pemulangan wang terutamanya jika pembatalan dibuat membabitkan wang yang banyak, ia memerlukan masa untuk diselesaikan mengikut prosedur yang betul.

“Saya ingin tegaskan, saya bukan seorang scammer dan perniagaan saya dijalankan secara sah serta mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya.

Beliau menambah, perniagaannya sentiasa telus dalam setiap urusan jual beli dan telah membantu ramai pelanggan memiliki tanah untuk membina kediaman idaman.

Mohamad Azlan berkata, beliau sentiasa mengambil langkah proaktif untuk menyelesaikan sebarang isu yang berbangkit dengan segera dan profesional.

“Saya faham kekecewaan pelanggan yang terpaksa menunggu namun setiap transaksi melibatkan jumlah yang besar memerlukan ketelitian. Kami sentiasa berusaha untuk memastikan setiap pemulangan wang diselesaikan secepat mungkin.

“Saya memberi jaminan bahawa semua pelanggan yang layak mendapat pemulangan wang akan menerima hak mereka sepenuhnya,” katanya lagi.

Mohamad Azlan turut memberi amaran beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pihak yang terus menyebarkan fitnah dan tohmahan palsu yang boleh merosakkan reputasinya serta perniagaannya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast