Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli menunjukkan sebuah kenderaan mewah, BMW 7i yang menggunakan nombor pendaftaran motosikal disita dalam Ops Luxury 4.0 di Depoh JPJ WPKL, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Sebuah kereta BMW i7 yang bernilai RM750,000 menggunakan nombor pendaftaran milik sebuah motosikal kapcai, antara 77 kenderaan mewah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Luxury 4.0.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kesemua kenderaan mewah itu yang disita dipandu warga tempatan dan warga asing dalam operasi itu yang dilaksanakan bermula 12 hingga 16 Disember 2025.

Beliau berkata, tindakan penyitaan kenderaan-kenderaan mewah itu dibuat JPJ selepas mendapati pemandu melakukan pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Antara kesalahan direkodkan ialah tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans serta Lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen yang sah (CDL).

“Semua kenderaan kini ditahan di depoh simpanan JPJ di sini untuk siasatan dan telah disita mengikut Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya pada sidang media di JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Menurut Aedy, sejak JPJ melaksanakan Ops Luxury bermula 1 Julai lalu, pihaknya telah menahan dan menyita sebanyak 705 kenderaan mewah kerana melakukan pelbagai kesalahan.

“Sekarang ini telah masuk ke bilangan keempat. Operasi kenderaan mewah ini telah masuk ke bilangan keempat yang mana dalam tempoh empat hari sahaja, kita sudah menahan 77 kenderaan mewah.

“Mereka gagal untuk memperbaharui insurans dan juga cukai jalan. Ia amat dikesalkan kerana pemilik-pemilik kenderaan ini mempunyai duit untuk membeli kenderaan mewah tetapi mereka tak perbaharui insurans dan cukai jalan,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli menunjukkan sebuah kenderaan mewah, Lamborghini Huracan yang tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor LKM) bernilai RM35,764 lebih setahun dan disita menerusi Ops Luxury 4.0 di Depoh JPJ WPKL, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Beliau berkata, kereta Lamborghini Huracan antara kenderaan mewah yang disita kerana tidak memperbaharui LKM lebih setahun dengan tertinggi berjumlah RM35,764 dalam operasi edisi keempat itu.

“Selain itu, kenderaan mewah kedua tertinggi nilai LKM tidak berbayar ialah Audi A8 berjumlah RM21,710, malah kita juga dapati ada satu kenderaan tidak diperbaharui LKM sejak 2021.

“Dalam Ops Luxury 4.0, JPJ juga menemukan sebuah kereta BMW 7i model baharu yang menggunakan nombor pendaftaran milik motosikal kapcai untuk mengaburi mata pihak berkuasa,” katanya.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia, Datuk Aedy Fadly Ramli menunjukkan sebuah kenderaan mewah, Audi A8 yang tidak memperbaharui Lesen Kenderaan Motor LKM) bernilai RM21,710 dan disita menerusi Ops Luxury 4.0 di Depoh JPJ WPKL, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Katanya, JPJ tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan jalan raya dan pelaksanaan Ops Luxury akan terus diperkukuh.

“Ops Luxury merupakan usaha strategik JPJ bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan sektor pengangkutan negara.

“Mana-mana pihak yang didapati melanggar mana-mana Akta 333 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta 715 APAD 2010 dan akta-akta lain berkaitan akan dikenakan tindakan tegas.

“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang boleh melaporkan aduan tersebut melalui Aplikasi MyJPJ: e-Aduan atau e-mel [email protected] berserta butiran aduan lengkap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast