KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) perlu mengambil tindakan tegas terhadap MIC kerana perbuatan dan kenyataan bukan hanya merugikan, bahkan sudah hilang rasa hormat kepada kepimpinan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin berkata, MIC sepatutnya lebih rasional bukan bertindak melulu hingga menghina Pengerusi BN.
“MIC kena cari jalan menonjolkan perancangan dan kerja yang baik, bukan dengan menyalahkan orang lain apatah lagi menghina pengerusi BN.
“BN perlu ambil tindakan kepada pimpinan MIC yang biadab ini demi menjaga kerukunan dalam BN.
“Sepatutnya pemimpin parti dalam komponen BN mereka lebih rasional,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.
Semalam, Ketua Pemuda MIC, K Arvind membidas kenyataan Ahmad Zahid berhubung status keanggotaan MIC dalam gabungan itu, sambil mengingatkan parti berkenaan agar jangan ‘siang cakap lain, malam pula cakap lain’.
Arvind berkata, jika benar soalnya adalah ‘siang cakap lain, malam cakap lain’ maka cermin paling dekat yang perlu dirujuk oleh Ahmad Zahid adalah kepimpinan UMNO itu sendiri.
Ketua Pemuda MIC itu turut mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang melaungkan secara terbuka slogan No DAP, No Anwar ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun kini sebumbung dan bersama DAP.
Asna yang juga Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan juga mempersoal tindakan Arvind yang lupa tentang slogan asal BN iaitu No Bersatu hingga MIC bertindak memohon untuk menyertai Perikatan Nasional (PN).
“Pemuda MIC, No Bersatu mana macha? Sekarang ini sudah ikut perangai kawan di sebelah sana menafikan ucapan Pengerusi BN No Bersatu.
“Kenapa MIC tidak mahu hantar surat cerai kepada BN, tetapi dalam diam minta bertunang dengan PN,” katanya.
Menurut Asna, tindakan MIC itu jelas membuktikan kepimpinannya tiada usaha untuk menjelaskan isu semasa politik seperti yang dilakukan oleh UMNO selepas kekalahan pada PRU-14.
“Tidak pasti sama ada MIC boleh dihidupkan semula ke zaman kegemilangannya atau tidak.
“Ini kerana tiada usaha dari pemimpin parti untuk turun ke setiap bahagian di seluruh negara untuk berjumpa dengan setiap akar umbi memberi penerangan politik,” katanya.
Asna turut meminta penjelasan sejauh mana usaha dilakukan MIC untuk memperkukuh bahagian dan cawangan di seluruh negara jika mereka benar-benar jujur mahu mengembalikan kegemilangan BN semula.
“Saya ingin bertanya, berapa jumlah bahagian dan cawangan MIC yang aktif tinggal pada 2025?
“Mendiang Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu pernah berkata, sebanyak 50 bahagian dan 150 cawangan MIC di seluruh negara berdepan dengan tindakan pembubaran setelah didapati tidak aktif atau menghadapi masalah dalaman,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















