JOHOR BAHRU – Dewan Muda Johor (DMJ) mendesak polis mengambil tindakan segera terhadap aktivis dan pereka grafik, Fahmi Reza yang didakwa menghina Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dalam media sosial miliknya.
Koordinator DMJ, Ahmad Solehin Abd Ghani berkata, siasatan yang menyeluruh terhadap kandungan dan perbuatan yang terkandung dalam hantaran-hantaran tersebut perlu dilakukan segera.
“Ini termasuk siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 serta mana-mana peruntukan undang-undang yang berkaitan. DMJ mengecam sekeras-kerasnya tindakan Fahmi khususnya terhadap Tunku Mahkota Ismail.
“Hantaran tersebut bukan sahaja mempersoalkan kedudukan dan peranan institusi diraja secara tidak beradab.
“Malah hantaran terbabit menggambarkan seolah-olah institusi Raja Melayu boleh bertindak sesuka hati tanpa sebarang had, akauntabiliti dan batasan undang-undang.
“Lebih membimbangkan penggunaan istilah seperti ‘dinasti’ serta bahasa yang bersifat merendahkan dan menghina, jelas mencerminkan sikap tidak menghormati asas Perlembagaan Persekutuan serta sistem Raja Berperlembagaan yang menjadi tunjang pemerintahan negara,” katanya dalam kenyataan.
Malam tadi, Fahmi membuat hantaran dalam media sosial miliknya berkenaan baginda dengan tulisan yang berbentuk provokasi:
“Apa masalah TMJ ni sebenarnya? Kenapa nampak seolah-olah dia boleh bertindak sesuka hati dan buat apa sahaja yang dia suka tanpa sebarang had, sempadan atau akauntabiliti yang jelas, tanpa batasan undang-undang?”
Hantaran tersebut mendapat teguran dan tidak kurang juga netizen yang menyokong dakwaan Fahmi.
Mengulas lanjut, Ahmad Solehin berkata, DMJ menegaskan bahawa institusi diraja merupakan tonggak penting kepada kestabilan, keharmonian dan perpaduan rakyat di negeri Johor serta di Malaysia.
“Sebarang cubaan untuk mencetuskan kebencian, penghinaan atau sentimen tidak hormat terhadap institusi ini berpotensi mengganggu ketenteraman awam dan memecahbelahkan masyarakat,” katanya.
Beliau berpandangan, kebebasan bersuara tidak boleh disalah guna sebagai lesen menghina institusi raja, mencetuskan provokasi atau melanggar adab serta nilai kenegaraan yang telah dipersetujui bersama dalam kerangka Perlembagaan.
“Dewan Muda Johor akan terus komited mempertahankan keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap institusi diraja sebagai simbol perpaduan dan kestabilan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















