KUALA LUMPUR – Beberapa Menteri yang sebelum ini diramal bakal terlibat dalam rombakan Kabinet, terselamat selepas terus kekal menerajui kementerian masing-masing.
Mereka termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Fadhlina sebelum ini berdepan tekanan daripada banyak pihak supaya melepaskan jawatan susulan pelbagai kontroversi yang berlaku dalam sistem pendidikan negara termasuk kes buli.
Sementara itu, King Sing pula didesak meletakkan jawatan susulan beberapa kontroversi termasuk isu hidangan arak pada majlis rasmi kementeriannya.
Dalam pada itu, pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini turut merungkai teka-teki pengganti Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Meskipun pernah menepis desas-desus yang mengaitkan beliau sebelum ini, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bagaimanapun diumum menggantikan Tengku Zafrul yang tamat tempoh Senatornya pada 2 Disember lalu.
Susulan pertukaran portfolio itu, jawatan Johari sebagai Menteri Perladangan dan Komoditi sebelum ini kini digalas Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad.
Sementara itu, beberapa kementerian yang `kosong’ susulan keputusan Menterinya meletakkan jawatan sebelum ini kini tidak lagi dipangku oleh Menteri lain.
Portfolio terlibat ialah Kementerian Ekonomi yang ditinggalkan Datuk Seri Rafizi Ramli yang kini digalas Akmal Nasrullah Mohd Nasir, manakala Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang sebelum ini dipegang oleh Nik Nazmi Nik Ahmad kini diganti Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Sementara itu, tempat Datuk Ewon Benedick yang melepaskan jawatan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini kini diambil alih Steven Sim. – MalaysiaGazette
















