KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyambut baik dan menyokong penuh pelantikan Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) baharu.
Pengerusi PAC Parlimen, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pengalaman luas Tze Tzin dalam bidang pengawasan dan penelitian perbelanjaan awam yang diperoleh melalui perkhidmatan di PAC akan menjadi kelebihan besar dan aset berharga dalam peranan baharu beliau di MITI.
Ujarnya, pelantikan itu juga merupakan satu pengiktirafan yang signifikan terhadap kredibiliti dan keupayaan Tze Tzin yang telah menunjukkan komitmen tinggi dan profesionalisme cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai Ahli PAC Parlimen ke-15.
Sementara itu, tambahnya, kekosongan jawatan Ahli PAC susulan pelantikan Tze Tzin tersebut akan diserahkan kepada Dewan Rakyat untuk proses pelantikan Ahli PAC baharu mengikut prosedur dan peraturan sedia ada.
“PAC ingin menegaskan semula komitmen PAC untuk menjalankan mandatnya sebagai badan semak imbang Parlimen demi memperkukuh integriti dan kebertanggungjawaban kerajaan kepada rakyat, walau apa jua perubahan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pengumuman rombakan Kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Tze Tzin merupakan antara muka baharu anggota Jemaah Menteri apabila dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, menggantikan Liew Chin Tong. – MalaysiaGazette
















