Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada pengumuman rombakan anggota kabinet kerajaan Madani ketika di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 DISEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Barisan Jemaah Menteri baharu yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyaksikan 10 lantikan baharu masing-masing melibatkan dua Menteri dan lapan Timbalan Menteri.

Dua menteri lantikan baharu ialah Datuk Mustapha Sakmud yang kini dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) serta Mohamad Taufiq Johari (Menteri Belia dan Sukan).

Sementara itu, lantikan baharu lain termasuk Marhamah Rosli (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Datuk Lo Su Fui (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Lantikan baharu lain ialah Chiew Choon Man (Timbalan Menteri Pelancongan; Seni dan Budaya); R. Yuneswaran (Timbalan Menteri Perpaduan Negara) dan Sim Tze Tzin (Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri).

Selain itu, Datuk Mohd Shahar Abdullah dilantik Timbalan Menteri Ekonomi; Syed Ibrahim Syed Noh (Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam) dan Mordi Anak Bimol (Timbalan Menteri dan Sukan).

Sementara itu, seramai 14 menteri dan timbalan menteri pula bertukar portfolio antaranya Hannah Yeoh yang sebelum ini merupakan Menteri Belia dan Sukan kini dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi, Lim Hui Ying kini pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat manakala Steven Sim kini menerajui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Turut bertukar portfolio ialah Datuk Seri Arthur Joseph Kurup sebelum ini merupakan Timbalan Menteri Pertanian yang kini menerajui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Kementerian Perladangan dan Komoditi kini juga diterajui dua menteri dan timbalan menteri yang bertukar portfolio iaitu Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad dan Datuk Seri Huang Tiong Sii.

Dalam pada itu, rombakan Kabinet yang diumumkan Anwar turut menyaksikan 34 menteri dan timbalan menteri kekal dengan jawatan masing-masing.

Terdahulu, Anwar dalam sidang akhbar pengumuman rombakan Kabinet itu berkata, terdapat keperluan bagi rombakan Jemaah Menteri ke arah penyesuaian supaya Kabinet dapat terus bekerja.

Menurut beliau, rombakan Kabinet itu juga supaya kerajaan menumpukan perhatian bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara yang lebih segar serta menyelesaikan masalah rakyat.

“Upacara angkat sumpah seperti yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong angkat berlangsung pukul 10 pagi di Istana Negara, esok dan mesyuarat Jemaah Menteri juga akan diteruskan pukul 2.30 petang esok,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast