Seorang warga emas ditangkap khalwat dengan seorang gadis di sebuah rumah teres di Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang duda warga emas yang mendakwa tidak sihat sanggup memandu sejauh 50 kilometer bagi menjemput seorang gadis datang ke rumah untuk menjaga dan merawatnya.

Lelaki yang mengaku mempunyai sakit dua serangkai itu mendakwa akan menghantar wanita berusia 20-an itu pulang ke rumah sewa apabila sudah selesai ‘menjaganya.’

Itu alasan diberikan lelaki berusia 60-an itu semasa rumah teres dua tingkat miliknya diserbu dan dikepung penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pukul 2.15 pagi semalam selepas menerima aduan awam.

Menurut JAINJ, semasa serbuan pintu hadapan dibuka 10 minit kemudian oleh lelaki berkenaan yang memakai seluar panjang dan baju lengan panjang.

“Penguat kuasa masuk dan membuat pemeriksaan dan menemui seorang wanita berseluar panjang dan t-shirt lengan panjang sedang baring di sofa dalam keadaan televisyen terbuka.

“Hasil semakan kad pengenalan lelaki ini berumur 60-an, seorang duda, mempunyai cucu dan seorang pekebun. Wanita pula berumur 20-an, dalam sistem dan atas kertas masih anak dara dan bekerja di Johor Bahru.

“Dia berasal dari utara dan berhijrah kerana bekerja di sini. Hasil pemeriksaan di rumah yang mempunyai tiga bilik ini mengesahkan hanya mereka berdua sahaja dalam rumah,” maklum kenyataan tersebut.

JAINJ memberitahu, lelaki memberi alasan tidak sihat dan wanita itu datang membantu merawat dan menjaganya di rumah kerana bimbang duduk seorang diri dalam keadaan tak sihat.

“Apabila ditanya sakit apa, lelaki kata dia sakit dua serangkai ditambah dengan kadang kala boleh pitam dan gelap mata.”

Jelas JAINJ, lelaki berkenaan terkedu apabila diberitahu penguat kuasa mempunyai maklumat dia memandu kereta pergi menjemput wanita itu lebih 50 kilometer di rumah wanita berkenaan.

“Keesokannya pula pergi hantar sekali lagi wanita itu balik rumah sewa. Kalaulah sakit, mana mungkin dia boleh memandu dalam kegelapan malam menentang pancaran lampu kenderaan hadapan dengan hujan kadang kala lebat,” jelas kenyataan itu lagi.

Tambah JAINJ, pasangan tersebut mendakwa memang ada perancangan untuk bernikah namun mendakwa masyarakat sukar menerimanya kerana perbezaan umur.- MalaysiaGazette

 

 

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast