PUTRAJAYA – Pendakwa Raya mengekalkan rayuan untuk mengetepikan pembebasan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, perkara itu dimuktamadkan selepas pasukan itu berbincang dengan Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar.
Menurut Wan Shaharuddin, Peguam Negara telah mengarahkan rayuan itu diteruskan dan bersedia menerima apa jua keputusan Mahkamah Persekutuan.

Ujar beliau, arahan itu dimuktamadkan dalam surat bertarikh hari ini yang dihantar menerusi emel kepada Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Rohaiza Hamzah yang turut diperoleh pihak media sejurus pemfailan disempurnakan pagi tadi.
“Merujuk kepada arahan Yang Amat Arif Presiden Mahkamah Rayuan kepada kedua-dua belah pihak yang telah diberikan di mahkamah terbuka pada 12 Disember 2025, pihak perayu telah mendapatkan pandangan dan arahan Tan Sri Peguam Negara berhubung perkara ini.
“Tan Sri Peguam Negara telah mengarahkan supaya rayuan ini diteruskan serta apa jua keputusan mahkamah yang mulia ini (Mahkamah Persekutuan) hendaklah diterima.
“Sehubungan itu, pihak perayu mengekalkan hujahan bertulis dan hujahan lisan yang dikemukakan dalam rayuan ini,” demikian menurut surat itu yang ditandatangani oleh Wan Shaharuddin.
Ketika ditanya wakil media, beliau yang juga timbalan pendakwa raya berkata, pihak pendakwaan telah selesai mengemukakan hujahan secara bertulis serta lisan dan akan memfailkan hujahan tambahan berhubung isu pertuduhan, Jumaat ini.
Menjawab soalan media sama ada pendakwaan masih yakin dengan kekuatan kes terhadap Syed Saddiq, beliau berkata, kedua-dua pihak telah berhujah di mahkamah.
“Pendakwaan dan pembelaan telah berhujah berkenaan isu-isu penting bagi rayuan ini, kami yakin dengan kekuatan kes dan serahkan kepada kebijaksanaan panel Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan,” ujarnya.
Ahad lalu, Wan Shaharuddin memberitahu Malaysia Gazette, pihak pendakwaan akan memuktamadkan pendiriannya hari ini melalui surat secara emel kepada mahkamah.
“Tiada prosiding di mahkamah terbuka, cuma pemakluman secara e mel kepada pihak mahkamah,” ujarnya.
Jumaat lalu, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memberi tempoh seminggu kepada pihak pendakwaan untuk memuktamadkan pendirian sama ada untuk meneruskan atau menarik balik rayuan terhadap Ahli Parlimen Muar itu.
Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais memberikan `tempoh bertenang’ bagi membolehkan pihak pendakwaan berbincang dan mencapai kata sepakat sebelum mahkamah menentukan tarikh keputusan rayuan tersebut.
Panel tersebut pada awalnya menetapkan hari ini untuk pihak-pihak memfailkan hujahan lanjut berhubung isu pertuduhan, namun Wan Shaharuddin memaklumkan beliau tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana akan mengerjakan umrah.
Pada peringkat itu, Hakim Abu Bakar menyarankan supaya pihak pendakwaan meneliti semula sama ada rayuan akan diteruskan atau sebaliknya.
“Adakah pihak pendakwaan yakin dan berpendapat bahawa rayuan harus diputuskan oleh mahkamah? Atau pendakwaan perlu menyemak semula rayuan ini?
“Jika pendakwaan berpendirian ia masih boleh membuktikan kes dengan segala cara, berpeganglah padanya. Tetapi jika selepas menyemak kes, pendakwaan merasakan tidak mahu mengekalkan rayuan, maka keputusan itu harus dimaklumkan kepada mahkamah.
“Kami tidak membuat sebarang keputusan buat masa ini. Pihak-pihak mesti memberitahu kami dalam masa seminggu. Jika tiada petunjuk, kami akan menyampaikan keputusan,” beliau.
Panel berkenaan yang selesai mendengar hujahan lisan selama dua hari bermula 11 Disember lalu, turut memberi ruang kepada pihak pembelaan untuk mengadakan perbincangan berhubung hala tuju rayuan tersebut.
Ujar beliau lagi, jika pihak pendakwaan berhasrat meneruskan rayuan, mereka diberi tempoh seminggu untuk memfailkan hujahan bertulis tambahan berhubung satu isu berbangkit berkaitan pertuduhan, diikuti hujahan balas oleh pihak pembelaan, seminggu kemudian.
Arahan di luar kebiasaan itu dibangkitkan oleh Hakim Abu Bakar ketika bersidang bersama-sama Hakim-Hakim Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerrah selepas selesai mendengar rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq.
Panel itu selesai mendengar penghujahan lisan kedua-dua pihak dalam rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana Armada.
Pihak pendakwaan mengemukakan rayuan akhir untuk mengembalikan sabitan dan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi manakala pembelaan mahukan keputusan Mahkamah Rayuan yang membebaskan Syed Saddiq, dikekalkan. – MalaysiaGazette
















