KUALA LUMPUR – Tanah seluas kira-kira 68.4 hektar (169 ekar) berhampiran Rizab Hutan Ayer Hitam, Kinrara, Puchong dekat sini bukan lagi merupakan hutan simpanan kekal hasil semakan dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin berkata, berdasarkan rekod pewartaan, kawasan berkenaan pada asalnya merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Ayer Itam yang diwartakan pada tahun 1906 (Warta Kerajaan No. GN743).
Bagaimanapun kawasan tersebut telah dinyahwarta kepada tanah kerajaan dan seterusnya diberi milik pada 1926.
“Perkara ini juga telah dimaklumkan kepada Pejabat Ng Sze Han (ADUN Kinrara) yang turut prihatin terhadap status tanah berkenaan dan telah mengemukakan permohonan rasmi kepada pejabat saya bagi mendapatkan pengesahan perkara tersebut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.
Kenyataan itu merujuk kepada laporan media berhubung terdapat cadangan pembangunan tanah itu terletak dalam kawasan DUN Kinrara dan Parlimen Subang sekali gus menimbulkan kebimbangan dan bantahan penduduk setempat.
Sementara itu, Jamaliah berkata, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) turut memaklumkan tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk membangunkan kawasan berkenaan sebagaimana yang dilaporkan.
“Kerajaan negeri menghargai keprihatinan orang awam serta pertubuhan masyarakat sivil terhadap usaha pemeliharaan alam sekitar, dan akan terus memastikan setiap keputusan yang dibuat adalah berlandaskan fakta, peruntukan perundangan serta kepentingan jangka panjang negeri dan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette
















