PUTRAJAYA – Pelanggan dan pengguna masa kini semakin peka dan lebih kritikal dalam membuat penilaian bukan sahaja pada rasa dan harga makanan, tetapi juga kebersihan premis termasuk kualiti fasiliti tandas awam.
Berikutan itu, Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Mohd Sakeri Abdul Kadir berkata, aspek kebersihan dan standard perkhidmatan tidak boleh dikompromi oleh pemilik premis.
Menurut beliau, aspek kebersihan dan standard perkhidmatan ini membawa imej dan mempengaruhi kesihatan awam dan kepercayaan masyarakat.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Penganugerahan Premis Makanan Bersih dan Tandas Awam Bersih, Menawan dan Wangi (BMW) Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025.
Mohd Sakeri turut mengingatkan, menjadi trend pelanggan dan pengguna sekarang menularkan pengalaman buruk mereka dengan pantas di media sosial.
Justeru, beliau menegaskan, cabaran dan amanah pemilik premis yang menerima anugerah pada hari ini menjadi contoh baik, mengekalkan dan terus meningkatkan standard sedia ada.
“Pengusaha premis yang berjaya hari ini, bakal menjadi rujukan kepada pengusaha lain. Saya amat menggalakkan supaya amalan terbaik ini, dikongsi bersama rakan-rakan pengusaha lain, khususnya di Putrajaya.
“Perkongsian ini dilihat penting, dalam usaha kita memastikan, kualiti tinggi yang kita kehendaki, dapat diamalkan secara menyeluruh,” tambah beliau.
Menurut Mohd Sakeri, Bahagian Kesihatan Persekitaran PPj bertanggungjawab memantau dan menguatkuasakan kawalan kualiti dan keselamatan makanan di premis makanan supaya sentiasa berada pada tahap yang sepatutnya.
Katanya, premis makanan yang diperiksa perlu mencapai gred A atau B untuk terus beroperasi dengan sempurna.
Tambah beliau, bahagian tersebut juga memantau tahap kebersihan, dan sanitasi tandas awam di Putrajaya menerusi pengauditan sebanyak dua kali setahun.
“Selaras dengan indikator yang disasarkan KPKT, PPj perlu memastikan, tandas awam di Putrajaya mencapai penarafan sekurang-kurangnya 4 Bintang.
“Pengauditan dilakukan berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Tandas Awam Malaysia manakala, pemeriksaan dan penggredan premis makanan, dijalankan secara rutin setiap tahun, berdasarkan Garis Panduan Pemeriksaan dan Penggredan Premis Makanan Putrajaya,” ujar beliau.
Mohd Sakeri berkata, berdasarkan pemerhatian secara keseluruhannya, pemilik dan penyelia premis makan, telah menunjukkan komitmen positif dalam mengekalkan piawaian kebersihan.
Antara kategori yang dipertandingkan dalam pertandingan itu adalah premis makanan milikan PBT, komersial, hotel, sekolah, food truck dan kafeteria kerajaan.
Manakala, anugerah bagi tandas awam pula terdiri daripada kategori pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, swasta, hotel, rumah ibadat dan restoran. – MalaysiaGazette
















