KUALA LUMPUR – Kutipan Tabung Justice for Zara yang dikendalikan Marhamah Rosli sebelum menggalas jawatan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) mematuhi peraturan dan undang-undang.
Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tabung bagi menampung kos proses inkues itu juga tidak menggunakan nama perseorangan termasuk Marhamah sendiri dalam proses kutipan sumbangan daripada orang ramai.
“Penjelasan itu (Marhamah) saya lihat agak tuntas sama ada isu dana Kempen Justice for Zara yang dipungut, dari segi peraturan mematuhi syarat-syarat dan telah mendapat kelulusan daripada pejabat Ketua Menteri Sabah waktu itu.
“Nama Yang Berhormat Senator Marhamah tidak ada dalam akaun yang mengutip dana tersebut dan dana itu juga diaudit, ada penjelasan yang diberi,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.
Semalam, Marhamah menegaskan tiada dana yang disalah guna dalam pengurusan akaun Tabung Justice for Zara, sebaliknya ia diasingkan sepenuhnya dan tidak bercampur dengan akaun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sebaliknya, tabung itu mempunyai penama tersendiri yang membabitkan ibu Zara Qairina Mahathir, beberapa peguam, serta jawatankuasa NGO.
Setakat 17 Disember, katanya, kutipan dana mencecah RM254,995.92 dengan baki terkini RM96,059.97 selepas mengambil kira perbelanjaan, termasuk kos pengangkutan dan penginapan saksi pakar serta keluarga Zara Qairina sepanjang persiapan dan perjalanan inkues.
Menteri Komunikasi itu juga berkata, Jemaah Menteri berpuas hati dengan penjelasan Marhamah dan beliau melihat isu tidak akan berlarutan lagi.
“Cuma ada beberapa pihak yang menyerang beliau dalam media sosial, jadi penjelasan yang beliau berikan itu saya rasa memadai,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















