Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Jawatan Menteri dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) tidak lagi bertaraf kementerian seperti mana sebelum rombakan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Selasa lalu.

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang tindakan dan keputusan yang ingin dibuat semua menteri di Jabatan Perdana Menteri masih perlu dirujuk kepada Perdana Menteri.

“Pelantikan Yang Berhormat Hannah Yeoh yang menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan portfolio Wilayah Persekutuan.

“Kementerian Wilayah Persekutuan bukan seperti sebelum ini, bermaksud bagi menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri, ketuanya adalah Perdana Menteri.

“Jadi sebarang tindakan dan keputusan itu akan dirujuk juga dengan Perdana Menteri,” katanya pada sidang media mingguan, di sini, hari ini.

Semalam, pelantikan Hannah sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan timbalannya, Lo Su Fui menambahkan keresahan dalam kalangan masyarakat Melayu kerana kedua-duanya berbangsa Cina dan salah seorangnya merupakan pemimpin DAP.

Fahmi juga berkata, menteri dan timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri masih tertakluk kepada kuasa Perdana Menteri sama nasihat mahu pun arahan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

“Dari segi pengurusan tidak berlaku apa-apa perkara, Perdana Menteri memantau dan sekiranya perlu mengambil dan menyampaikan apa-apa nasihat ataupun arahan kepada menteri-menteri dalam Jabatan Perdana Menteri,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast