Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas hadir pada Majlis Konvokesyen Ke-3 Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Tiada agenda perkauman yang diperkenalkan Hannah Yeoh ketika menerajui Kementerian Belia dan Sukan (KBS), apatah lagi apabila beliau diamanahkan untuk memimpin Jabatan Wilayah Persekutuan.

Lantaran itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan Hannah tidak akan menyebabkan jurang perkauman semakin melebar di Wilayah Persekutuan.

“Jangan dilihat bila menterinya Cina, timbalan menterinya Cina, biarpun Hannah itu daripada DAP (utamakan orang Cina).

“Daripada beberapa pengalaman peribadi saya mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, saya melihat prestasi KBS terutamanya dalam bidang sukan di bawah kepimpinan beliau itu tidak dilihat petak-petak kaum.

“Saya juga dapat melihat di mana tidak ada agenda kaum di dalam KBS yang dikenalkan oleh Hannah.

“Timbalan beliau walaupun seorang Cina, ia mewakili GRS, iaitu dari Sabah, tentunya pertimbangan agenda nasional tidak akan diketepikan, Insya-Allah,” katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini, hari ini.

Terdahulu Ahmad Zahid menyempurnakan Majlis Konvokesyen Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) ketiga.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Hannah yang juga Ahli Parlimen Segambut dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) baharu susulan rombakan Kabinet Kerajaan Madani.

Hannah, 46, yang sebelum ini memegang portfolio Menteri Belia dan Sukan, pernah mencipta sejarah sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor dari 2013 hingga 2018.

Ahmad Zahid juga berkata, perdana menteri dan dua timbalan perdana menteri termasuk beliau sendiri akan memantau pelaksanaan agenda nasional

“Perdana Menteri mempunyai beberapa pertimbangan. Tentunya kita ketahui bahawa Datuk Bandar adalah orang Melayu dan Bahagian Hal Ehwal Wilayah Persekutuan juga diketuai oleh orang Melayu.

“Agenda untuk orang Melayu di Wilayah Persekutuan, tentunya jangan harus digusarkan kerana semua keputusan pertama itu dibawa kepada Kabinet,” katanya.

Selain itu, katanya, Kabinet akan membuat pertimbangan berdasarkan kepada beberapa ketentuan dan kepentingan semua pihak akan terjaga.

“Kita harus melihat ini bukan soal kepartian ataupun soal bangsa. Ini kerana Kerajaan Madani memberikan keprihatinan terhadap keterangkuman di dalam semua pelaksanaan agenda nasional termasuk di Wilayah Persekutuan.

“Itu juga melibatkan URA di mana biarpun dia di bawah KPKT, tetapi agensi pelaksana ialah kerajaan-kerajaan tempatan.

“Dalam konteks ini Dewan Bandaraya adalah agensi pelaksanaan dan tentunya di dalam hal yang sedemikian, kita harus melihat dari segi beberapa pendekatan secara holistik,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast