JOHOR BAHRU -Seramai 356 mangsa banjir masih berlindung di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di Endau, Mersing setakat pukul 8 pagi ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman berkata, jumlah berkenaan membabitkan 93 keluarga yang ditempatkan di sekolah kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC).
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan PPS SK Pusat Air Tawar menempatkan 148 mangsa daripada 36 keluarga, diikuti PPS SJKC Chiao Ching (139 mangsa, 44 keluarga) dan SK Labong menempatkan (69 mangsa, 13 keluarga).
“Antara kawasan yang masih terjejas termasuk Kampung Baru Air Tawar, Kampung Hubong, Kampung Belujar Juling, Kampung Semaloi dan Kampung Orang Asli Labong.
“Mengikut Jabatan Pengairan dan Saliran empat sungai berada pada aras amaran iaitu Sungai Muar di Kampung Awat, Sungai Muar di Buloh Kasap dan Sungai Batu Pahat di Ladang Chaah dan Sungai Endau di Kampung Labong.
“Sementara di tujuh lembangan di Tangkak, Segamat, Muar dan Kluang mencecah tahap waspada,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, setakat hari ini semua laluan di Kota Tinggi tidak dinaiki air dan boleh dilalui semua jenis kenderaan.- MalaysiaGazette
















