KUALA LUMPUR – Kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah disifatkan sebagai tamparan hebat kepada kepimpinan perdana menteri selepas hampir tiga tahun menerajui kerajaan, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap tahap keyakinan rakyat terhadap gabungan itu.
Ketua Penerangan Armada Bersatu Malaysia, Harris Idaham Rashid berkata, walaupun pelbagai dasar baharu telah diperkenalkan sepanjang tempoh pentadbiran, keputusan PRN Sabah membuktikan rakyat masih belum yakin dan menolak gabungan yang dipimpin oleh perdana menteri.
Beliau berkata, tanpa kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap yang calonnya didakwa diimport pada saat akhir, PH berisiko mengalami kekalahan di semua kerusi yang ditandingi di negeri itu.
“Situasi berkenaan menunjukkan perdana menteri sendiri tidak yakin dengan sokongan sedia ada, justeru memerlukan masa sebanyak mungkin untuk meningkatkan kembali tahap sokongan rakyat terhadap kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Harris, kekalahan menyeluruh DAP, yang disifatkan sebagai “ayam tambatan” PH dan penyumbang kerusi terbesar dalam gabungan kerajaan juga memberi gambaran yang membimbangkan.
Ujarnya, DAP bukan sahaja gagal memenangi sebarang kerusi, malah peratusan sokongan terhadap parti itu di Sabah dilaporkan merosot dengan ketara.
“Sebagai perdana menteri yang bergantung kepada DAP untuk menyumbang bilangan kerusi Parlimen yang mencukupi, perkembangan ini sudah tentu memberi isyarat negatif.
“Sekiranya DAP gagal menyumbang kerusi seperti yang diharapkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kedudukan PH sebagai Kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan rapuh,” katanya.
Beliau mengingatkan pada malam keputusan PRU15, perbezaan kerusi antara PH dan Perikatan Nasional (PN) adalah sangat tipis, sekali gus menjelaskan kegusaran perdana menteri untuk membubarkan Parlimen lebih awal bagi memberi laluan kepada PRU16 ketika DAP berdepan penurunan sokongan.
Harris turut menyentuh soal ekonomi, dengan menyatakan angka-angka pertumbuhan yang sering diumumkan kerajaan tidak benar-benar dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
Keadaan itu telah diterjemahkan melalui penolakan dalam kertas undi.
“Isu ini juga berkait dengan skandal rasuah yang sering kedengaran dalam pentadbiran semasa. Rakyat beranggapan walaupun pertumbuhan ekonomi dilihat baik dari segi angka, ketirisan masih besar, tidak selari dengan janji serta kempen yang dibawa semasa PRU lalu,” katanya. – MalaysiaGazette
















