KUALA LUMPUR – Seorang penuntut lelaki Universiti Malaysia Sabah (UMS) ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari Dewan Canselor, universiti itu semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian berkenaan diketahui apabila dua pekerja penyelenggaraan menjumpai mangsa yang berusia 23 tahun itu terbaring di atas pentas dalam dewan tersebut.
“Pegawa perubatan dari Hospital Wanita dan kanak-kanak Likas telah mengesahkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian pada 11.10 pagi,” katanya.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan mendapati tiada kecederaan yang mencurigakan pada mangsa, selain kesan akibat terjatuh.
“Hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah terlibat,” beliau berkata.
Selain itu jelasnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam Dewan Canselor UMS mendapati mangsa terjatuh pada hari Rabu jam 6.09 petang.
“Tiada saksi awam yang menyaksikan kejadian tersebut,” tambahnya.
Kasim berkata, kes tersebut diklasifikasikan sebagai Kematian Mengejut (SDR).
“Siasatan lanjut masih diteruskan. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan,” katanya lagi.
Sementara itu, UMS dalam kenyataan mengesahkan kejadian berkenaan.
“Kehilangan ini amat dirasai oleh seluruh warga university. Buat masa ini pihak UMS sedang menunggu hasil siasatan lanjut daripada pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut,” kata UMS.- MalaysiaGazette
















