KUALA LUMPUR – Polis Kelantan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kehilangan seorang gadis berusia 15 tahun, Alisa Safika Noor Azmi untuk tampil di mana-mana balai polis berhampiran.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, remaja berkenaan, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah neneknya di Kampung Lata Rek, Laloh, Kuala Krai, Kelantan sejak awal pagi Jumaat lalu.
Dia yang tinggal bersama neneknya itu dikatakan keluar tanpa pengetahuan warga emas berusia 73 tahun itu kira-kira jam 2 pagi.
“Alisa Safika merupakan remaja Melayu dengan ketinggian kira-kira 155 sentimeter
“Berbadan gempal, manakala pakaian terakhir dipakai ketika keluar rumah masih belum dapat dipastikan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini..
Mazlan berkata, laporan polis berhubung kehilangan remaja itu dibuat di Balai Polis Laloh dan kes diklasifikasikan sebagai orang hilang.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan mangsa diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Aminuddin Ishak di talian 011-14796349 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran.
Katanya, maklumat segera yang disalurkan diharap dapat membantu menemukan remaja ini. – MalaysiaGazette
















