MEXICO CITY – Seorang juruterbang enggan berlepas dan mengunci dirinya di dalam kokpit sebuah pesawat di Mexico City pada 19 Disember, sebagai satu bentuk protes terhadap gaji yang tidak dibayar.
“Pesawat ini tidak akan berlepas sehingga mereka membayar apa yang mereka berhutang kepada kami,” kata juruterbang itu kepada puluhan penumpang di dalam penerbangan komersial tersebut, menurut sebuah video yang dipetik oleh media tempatan.
Juruterbang berkenaan berkata, majikannya berhutang gaji selama lima bulan serta perbelanjaan perjalanan.
“Saya berasa bersalah terhadap anda semua kerana anda tidak layak menerima perkara ini. Saya telah bersama syarikat penerbangan ini hampir tiga tahun dan tidak pernah gagal melaksanakan satu pun penerbangan,” katanya kepada penumpang dalam video itu, sambil menambah beliau merupakan bapa kepada tiga orang anak.
Pihak pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Benito Juarez, Mexico City, memaklumkan menerusi platform X bahawa pihak berkuasa penerbangan awam sedang menyiasat satu “insiden” yang berlaku sekitar jam 3 petang waktu tempatan melibatkan penerbangan berjadual ke bandar peranginan Caribbean, Cancun, di tenggara Mexico.
Menurut laporan media Mexico, kapten pesawat tersebut telah ditahan manakala semua penumpang dipindahkan keluar dari pesawat. – Agensi















