SEKINCHAN – Kedudukan MIC sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) akan dibincangkan pada Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, Januari tahun depan.
Perkara itu dinyatakan Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya mengenai status parti terbesar masyarakat India itu di dalam gabungan BN.
“Perkara ini tidak ada kena-mengena dengan perhimpunan agung (UMNO), kerana status UMNO dengan MIC sama saja dalam Barisan Nasional.
“(Jadi) kita akan adakan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN Januari tahun depan dan ketika itu kita akan putuskan,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Pengumuman Pakej Lengkap Desa Kirana di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 memutuskan untuk menangguhkan keputusan sama ada parti itu akan keluar atau kekal dalam BN.
Bagaimanapun, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk diteliti.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut meminta perwakilan Sabah untuk turun membantu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag susulan tarikh yang bertindih dengan perhimpunan agung parti berkenaan. -MalaysiaGazette
















