Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan beramah mesra bersama tetamu yang hadir pada Majlis Penutup Konvensyen Dakwah Negara di Kompleks Darul Puteri, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 DISEMBER 2025.

KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan menyifatkan keputusan perdana menteri melantik timbalan menteri hal ehwal agama sebagai satu keputusan yang bijaksana demi memperkukuh pengurusan dan agenda hal ehwal Islam di negara ini.

Beliau berkata, keputusan tersebut dibuat selepas melalui perbincangan dan mesyuarat yang teliti, sekali gus mencerminkan kebijaksanaan kepimpinan Perdana menteri dalam memastikan pentadbiran hal ehwal agama terus diperkasakan.

“Saya merasakan bahawa, alhamdulillah setelah diadakan perbincangan dan mesyuarat, keputusan yang dibuat oleh YAB perdana menteri itu adalah satu keputusan yang bijaksana,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penutupamn Konvensyen Dakwah Negara, di sini, hari ini.

Menurut Dr Zulkifli, keutamaan beliau kini adalah memastikan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), bersama menteri dan timbalan menterinya, dapat bekerja sebagai satu pasukan yang mantap bagi memperkasa, memperkukuh dan memperhebatkan agenda hal ehwal agama.

Tambah beliau, usaha itu penting bagi menampilkan model sebuah negara Islam yang mengamalkan pendekatan wasatiyyah, berteraskan maqasid syariah serta bersifat inklusif, rahmah, damai dan berkemajuan.

“Kita ingin menunjukkan dan menawarkan model sebuah negara yang mengamalkan Islam yang sederhana, berteraskan maqasid, inklusif, rahmah, aman dan progresif,” katanya.

Aktivis, Marhamah Rosli telah dilantik sebagai timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menggantikan tempat Zulkifli.

Pelantikan Marhamah adalah sebahagian daripada rombakan Kabinet Kerajaan Madani yang diumumkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Rombakan tersebut turut melibatkan pertukaran portfolio beberapa menteri dan timbalan menteri serta pengenalan beberapa wajah baharu sebagai timbalan menteri.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Zulkifli berkata, amalan turun padang dan menyantuni rakyat setiap hari Jumaat yang dilaksanakan Anwar disifatkan sebagai pendekatan berkesan dalam mendekatkan kepimpinan dengan masyarakat serta menyuburkan syiar Islam di negara ini.

Menurutnya, beliau turut akan mengambil pendekatan sama secara santai tetapi berkesan untuk dilaksanakan melalui interaksi bersemuka selepas solat Jumaat.

Ia termasuk beramah mesra, bertanya khabar serta mendengar permasalahan rakyat secara langsung.

Beliau menjelaskan, amalan tersebut telah beliau laksanakan selama dua tahun ketika berkhidmat sebagai timbalan menteri, namun pada skala yang lebih kecil berbanding pelaksanaannya hari ini.

Sehubungan itu, beliau telah mencadangkan agar semua ketua agensi di bawah hal ehwal agama turut melaksanakan program sama secara berterusan.

Jelasnya, hari Jumaat merupakan kewajipan umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat dan peluang itu wajar dimanfaatkan untuk mendekati masyarakat serta memahami isu setempat.

“Bayangkan dalam setahun berapa banyak Jumaat yang kita ada. Jika program ini diteruskan secara konsisten, kita bukan sahaja menunaikan kewajipan, malah dapat menyantuni rakyat, bertanya khabar dan mengetahui apa yang berlaku di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau yakin sekiranya amalan tersebut dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua pihak berkaitan, ia mampu menyumbang kepada pengukuhan hubungan antara pemimpin dan rakyat, sekali gus menjadikan Islam lebih subur dan difahami dalam konteks kehidupan bermasyarakat di Malaysia. – MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast