KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong menggesa akan semua proses dan prosedur kerajaan di semua peringkat dipermudah dan diselaraskan.
Katanya, ini bagi membolehkan peniaga di Malaysia dapat beroperasi dengan jelas tanpa kekeliruan atau tafsiran peraturan yang pelbagai.
“Kini tiba masanya kita memastikan perniagaan Malaysia dapat terus maju tanpa mengira kaum, agama, negeri, dan wilayah, termasuk dalam sektor makanan dan hotel yang melibatkan banyak PMKS Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Steven berkata demikian susulan kenyataan yang dikeluarkan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berhubung kebenaran kepada pengusaha hotel dan premis halal untuk mempamer perhiasan Krismas.
Dr Zulkifli Hasan, menjelaskan bahawa tiada sekatan terhadap pemegang pensijilan halal daripada mempamerkan hiasan perayaan yang berkaitan dengan agama selain Islam, selagi standard halal dipatuhi.
Malah katanya, hiasan Krismas juga tidak akan menjejaskan prinsip halalan thoyyiban.
Steven yang menyambut baik kenyataan yang dibuat Zulkifli berkata, penjelasan tersebut wajar dihormati dan dijadikan panduan bersama agar pelaksanaan di lapangan konsisten serta tidak mengelirukan.
Menurut beliau, penyelarasan itu selari dengan Strategi ABCD yang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) yang mana ia bermaksud Anjakan produktiviti, Birokrasi dipermudahkan, Capaian modal, Daya akses pasaran. -MalaysiaGazette
















