MELAKA – Institusi legislatif di negara ini perlu terus diperkasakan sebagai ‘house of democracy’ yang berfungsi secara matang, adil dan berhemah bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi dapat dibina dan dipelihara secara berterusan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, berkata, rakyat perlu memahami peranan Speaker sebagai pengadil yang neutral dan bebas, serta tidak terlibat dalam percaturan politik kepartian.
“Institusi legislatif ini penting kerana ia melambangkan betapa kita (Speaker) memang berada di tengah-tengah dalam urusan-urusan perundangan.
“Speaker mesti dilihat sebagai pengadil yang adil dan bijaksana, bukan bermain politik, supaya setiap keputusan yang dibuat bukan sahaja memberi manfaat kepada rakyat tetapi juga benar-benar mendengar suara rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 di sini.
Perasmian persidangan disempurnakan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut, Johari turut mengingatkan walaupun seseorang wakil rakyat menang atas tiket mana-mana parti, sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam Dewan, tanggungjawab utama mereka ialah memperjuangkan kepentingan rakyat secara keseluruhan.
“Saat (Speaker) masuk ke dalam dewan, dia mewakili rakyat. Jadi kita nak supaya pemikiran itu harus dibina dari sekarang. Bukan suara parti dia. Bukan juga personal (peribadi).
“Apabila berada di dalam Dewan, inilah rumah yang mulia. Kita bincangkan soal rakyat dan keputusan yang dibuat mesti memberi manfaat kepada rakyat,” tambahnya. – MalaysiaGazette
















