Yong Soo Heong

KUALA LUMPUR – Pelaporan berkaitan bencana alam, tragedi dan isu kemanusiaan hendaklah dilaksanakan secara beretika, berfakta dan berperikemanusiaan dengan mengambil kira sensitiviti budaya, tata susila serta hubungan antara negara khususnya dalam konteks pelaporan rentas sempadan.

Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong berkata, ia kerana media memikul tanggungjawab penting bukan sekadar menyampaikan maklumat kepada masyarakat, tetapi turut membentuk kefahaman awam, memelihara maruah mangsa serta menjaga keharmonian hubungan dua hala dan serantau.

“Dalam situasi bencana dan krisis kemanusiaan, MPI menegaskan pelaporan kewartawanan tidak wajar didorong oleh emosi melampau, sensasi atau naratif yang boleh mencetuskan salah faham.

“Sebaliknya, ia perlu berteraskan kepercayaan, ketepatan fakta serta kefahaman menyeluruh terhadap realiti sebenar di lapangan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Merujuk kejadian bencana alam yang berlaku di Pulau Sumatera baru-baru ini, serta pendirian Kerajaan Indonesia yang memilih untuk tidak menerima bantuan luar negara, Soo Heong berkata, media perlu lebih berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membentuk naratif pelaporan agar tidak menimbulkan salah tafsir atau persepsi negatif.

Menurut beliau, pelaporan yang tepat, seimbang dan berhemah amat penting bukan sahaja untuk memastikan masyarakat memperoleh maklumat sebenar, malah bagi mengekalkan hubungan baik dan persefahaman antara dua negara jiran yang berkongsi sejarah, budaya serta kepentingan strategik
serantau.

“Media Malaysia yang membuat liputan berkaitan bencana tersebut perlu mengekalkan standard etika yang tinggi, bersikap prihatin terhadap musibah yang berlaku di Acheh dan beberapa wilayah di Sumatera Utara serta menghormati segala dasar dan keputusan yang ditetapkan oleh Kerajaan Indonesia,” jelasnya.

Sehubungan itu, MPI menasihatkan pengamal media tempatan agar mengamalkan pelaporan yang menghormati hubungan dua negara serta berprinsip setiakawan dengan menzahirkan empati, kepekaan dan rasa tanggungjawab bersama dalam  menyampaikan maklumat berkaitan bencana dan kemanusiaan.

“Wartawan yang beretika dan berintegriti perlu mengutamakan nilai kemanusiaan, empati serta tanggungjawab sosial dalam setiap laporan. Media harus menjadi saluran yang menyatukan, membina persefahaman dan memperkukuh kepercayaan, khususnya ketika masyarakat berdepan saat sukar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast