KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menggalakkan orang ramai untuk mempertimbangkan destinasi agro pelancongan yang menarik di seluruh negara sebagai pilihan sepanjang musim percutian ketika ini.
Menurut beliau, selain memberi pengalaman pembelajaran kepada anak-anak, agro pelancongan juga menyokong pengusaha tempatan dan memperkukuh ekonomi luar bandar.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan seluruh rakyat yang mengambil kesempatan bercuti hujung tahun 2025, khususnya sempena cuti persekolahan agar sentiasa mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan.
“Rancang perjalanan lebih awal, pastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, dan patuhi semua peraturan lalu lintas.
“Elakkan memandu dalam keadaan letih atau tergesa-gesa, kerana keselamatan diri dan keluarga adalah keutamaan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sementara itu, Mohamad turut menyeru orang ramai supaya menggunakan masa cuti ketika ini untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan merehatkan minda.
“Semoga perjalanan semua rakyat Malaysia dipermudahkan, selamat pergi dan selamat kembali,” katanya. – MalaysiaGazette
















