KUALA LUMPUR – Persatuan Pengajar Terakreditasi Malaysia (PPTM) mencadangkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) mewujudkan akreditasi khusus bagi menentukan piawaian tahap keilmuan seseorang pendakwah.
Setiausaha Agung Persatuan Pengajar Terakreditasi Malaysia (Accredited Trainers And Reskillers Malaysia-ACTARM), Hazwani Husna Zainal Abu berkata, ia bagi membendung pengiktirafan tidak sah kepada diri sendiri (self claim) oleh golongan berkenaan.
Langkah itu dilihat akan dapat mengelakkan umat Islam keliru atau dimanipulasi oleh pihak yang mengambil kesempatan dengan menggunakan gelaran samada pakar agama, ulama, ustaz, ustazah dan sebagainya.
“Jika tiada penguatkuasaan atau piawaian dari pihak MKI, golongan tersebut akan menggunakan media massa sebagai ‘badan akreditasi” untuk melabelkan diri dengan gelaran-gelaran agamawan tersebut,” katanya menerusi kenyataan.
Tegas Hazwani, keputusan Mahkamah Tinggi Ipoh baru-baru ini yang menolak pengiktrafan sebagai ‘pakar hadis’ kepada seorang pensyarah universiti awam di Perak perlu dijadikan iktibar.
Begitu juga dengan kes di Shah Alam di mana seorang individu yang telah melabelkan dirinya sebagai ‘ustaz’ sehingga berjaya masuk ke masjid-masjid ‘mengajar’ agama Islam di Selangor sedangkan beliau terpalit dengan pelbagai kes video seks, penipuan dan sebagainya, katanya.
Menurutnya, ketiadaan piawaian dikhuatiri mengelirukan umat Islam sekali gus menjejaskan akidah.
“Jika piawaian ini tidak diwujudkan, umat Islam boleh diancam kerosakan akidah apabila muncul ramai individu yang mengaku sebagai agamawan Islam tetapi membawa ajaran yang bercanggah dari yang dimuktamadkan oleh MKI,” tambahnya.
Sehubungan itu, Hazwani berharap Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang baharu, Dr Zulkifli Hasan akan dapat memartabatkan lagi golongan pendakwah agama Islam.-MalaysiaGazette















