PERJANJIAN Damai Kuala Lumpur yang ditandatangani pada 26 Oktober 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang lalu gagal mengekalkan keamanan yang termeterai. Sempadan Thailand-Kemboja kembali bergolak pada 12 November 2025. Ia bermula dengan insiden letupan periuk api di daerah Sisaket, bersempadan dengan Kemboja. Di sempadan daerah itu juga, terletaknya Kuil Bersejarah Preah Vihear yang masih menjadi rebutan kedua-dua negara.
Pada Perjanjian Damai Kuala Lumpur, kedua-dua belah pihak telah bersepakat. Perjanjian itu merangkumi syarat-syarat pembebasan 18 tawanan Kemboja oleh pihak Thailand, penarikan senjata berat di kawasan konflik, prosedur pembersihan ranjau oleh kedua-dua belah pihak serta kewujudan pasukan pemerhati neutral seperti ASEAN bagi memastikan perjanjian damai ini berjaya. Malaysia telah memainkan peranan utama sebagai hos dan pengantara, selaras dengan pendekatan ‘ASEAN Regionalisme with Responsibility’ yang dicadangkan Anwar Ibrahim.
Namun, kegagalan pelaksanaan dan faktor-faktor politik dalaman Thailand dan Kemboja menyebabkan konflik kembali memuncak pada awal Disember. Laporan ini menganalisis konflik pasca Perjanjian Damai di Kemuncak ASEAN Malaysia Oktober lalu.
Punca utama konflik
Insiden periuk api pada 9 November 2025 di Sisaket, wilayah sempadan Thailand, telah menyebabkan kecederaan kepada seorang askar Thailand termasuk kehilangan buku lali. Thailand menuduh Kemboja memasang periuk api yang baru, seraya melanggar perjanjian pembersihan periuk api secara bersama di kawasan sempadan.
Manakala Phnom Penh menyatakan periuk api itu adalah baki daripada konflik sebelum ini. Bangkok menunjukkan bukti bahawa periuk api tersebut adalah baru. Ini membawa kepada pertembungan bersenjata pada 12 November, yang mana Kemboja mendakwa tentera Thailand telah menembak dahulu dan membunuh seorang rakyat awam Kemboja.
Faktor politik dalaman
Manakala di Thailand, konflik ini ternyata menguntungkan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul jika ia terus berlarutan. Anutin ketika ini sedang menghadapi tekanan banjir besar, skandal rasuah dan ancaman kudeta tentera. Pada masa yang sama ia juga menguntungkan tentera Thailand yang ingin meraih sokongan rakyat Thailand kepada parti pro-tentera. Semangat nasionalisme yang diperjuangkan parti pro-tentera bakal menggagalkan Parti PPP yang dijangka meraih kerusi majoriti penuh pada pilihanraya yang akan diadakan pada bulan Mac 2026.
Di Kemboja, pihak mereka berterusan menyatakan konflik ini dicetuskan semula oleh Thailand bagi meraih simpati daripada Amerika Syarikat dan Presiden Donald Trump yang telah menyokong usaha Perjanjian Damai di KL tempoh hari. Namun, Amerika Syarikat hakikatnya mempunyai perjanjian bersama Thailand, bahkan merupakan rakan strategik Amerika Syarikat di rantau Asia Tenggara.
Konflik berpanjangan
Pertembungan merebak pada 7-9 Disember dengan serangan udara kapal terbang F-16 Thailand ke atas posisi Kemboja menyebabkan korban rakyat awam, penutupan sempadan Thailand-Kemboja serta evakuasi penduduk dari kawasan konflik. Perjanjian Damai Kuala Lumpur dikritik kurang berkesan kerana tiada mekanisme penguatkuasaan oleh ASEAN terhadap syarat-syarat yang dipersetujui kedua-dua belah pihak.
Ketidakpatuhan Thailand terhadap garis sempadan peta 1904/1907 serta menolak keputusan Mahkamah ICJ 1962 terhadap status Kuil Preah Vihear merumitkan lagi keadaan. ASEAN Observer Team yang telah diwujudkan bagi meredakan konflik, dilaporkan tidak berkesan disebabkan halangan akses ke dalam kawasan konflik.
Dua penganalisis yang pakar dalam isu ini, Pavin Chachavalpongpun, Professor Politik di Kyoto University berkata, krisis ini bakal berpanjangan. Sebarang perjanjian damai oleh pihak Thailand, akan menyebabkan jawatan Anutin sebagai perdana menteri tergugat. Phil Robertson, pengarah Asia Human Rights and Labour Advocates (AHRLA) berkata, perjanjian damai tidak menyelesaikan perselisihan sempadan yang menyebabkan konflik tercetus semula.
Thailand dan Kemboja bersetuju untuk hadir ke Pertemuan ASEAN Foreign Minister’s Meeting di Kuala Lumpur, 22 Disember. Berikut antara cadangan yang boleh diambil bagi meleraikan sengketa dua negara. ASEAN boleh menubuhkan Mekanisme Penguatkuasaan Perjanjian Sempadan dengan kuasa pengawasan askar bersenjata. Penalti boleh dikenakan, jika gagal berbuat sedemikian. Malaysia sewajarnya kembali aktif sebagai pengantara rundingan di Putrajaya.
Jika penyelesaian di meja rundingan menemui jalan buntu, Mahkamah ICJ dicadangkan sebagai pemutus untuk menentukan garis sempadan kedua-dua negara. Malaysia juga harus aktif mengadakan dialog empat hala (Thailand-Kemboja-Malaysia-Indonesia) dengan sokongan PBB bagi pembersihan periuk api di sempadan. Konflik sempadan Thailand-Kemboja ini menguji integriti kesatuan negara-negara ASEAN. Penyelesaian jangka panjang memerlukan komitmen kedua-dua belah pihak, bukan hanya perjanjian yang hanya ditandatangani di atas kertas semata-mata.
Auzaie SM
Penyelidik Geopolitik, Nusantara Academy for Strategic Research
















