Mohd Kamil Ibrahim (kiri) berbual dengan salah seorang warga emas ketika program pasca banjir di rumahnya di Maran

KUANTAN – Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) giat melaksanakan operasi pasca banjir secara bersepadu melibatkan beberapa kawasan terjejas di negeri ini khususnya kawasan terjejas di Maran, Paya Besar dan bandar Kuantan susulan keadaan banjir yang kini beransur surut.

Penglibatan sukarelawan MTSP dari seluruh daerah digerakkan bagi membantu membersihkan kediaman penduduk khususnya rumah-rumah yang dihuni golongan warga emas, orang kurang upaya serta keluarga yang terkesan teruk akibat bencana banjir.

Naib Pengerusi I MTSP, Mohd Kamil Ibrahim berkata, MTSP telah berada dalam keadaan siap siaga sejurus menerima laporan awal berkaitan situasi banjir, bukan sahaja bagi penyaluran bantuan kecemasan, malah bagi persediaan operasi pembersihan pasca banjir.

“MTSP dari daerah Raub, Bera, Temerloh, Jerantut, Bentong dan Kuala Krau telah digerakkan semalam bagi membantu kawasan terjejas di Maran, Paya Besar, Rompin dan Kuantan.

“Keutamaan diberikan kepada rumah-rumah yang memerlukan bantuan segera, khususnya kediaman golongan yang mempunyai kekangan fizikal,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas keprihatinan dan tindakan awal kerajaan negeri dalam membuat persiapan menghadapi bencana serta menyalurkan bantuan awal kepada rakyat yang terkesan.

Dalam masa sama, penghargaan turut diberikan kepada seluruh pihak berkuasa, agensi berkaitan serta penduduk setempat yang berganding bahu membantu mangsa sejak peringkat awal bencana, sekali gus memastikan urusan pemindahan, keselamatan dan kebajikan rakyat dapat dilaksanakan dengan teratur dan berkesan.

Sebahagian daripada anggota MTSP bergambar kenangan di hadapan rumah penduduk di Maran yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Sebagai rakan strategik kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), MTSP kekal bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk mengambil maklum ramalan gelombang susulan yang dilaporkan.

“Insya-Allah, berbekalkan pengalaman mengurus situasi banjir sebelum ini, Kerajaan Negeri Pahang bersama semua agensi terlibat berada dalam keadaan bersedia sepenuhnya bagi menghadapi sebarang kemungkinan demi memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat sentiasa terpelihara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast