Gelagat dan reaksi penyokong Datuk Seri Mohd Najib Razak dilihat hadir seawal 7 pagi bagi mendengar Keputusan Titah Adendum di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 DISEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Laungan ‘bebas Bossku’ terus bergema di luar perkarangan Mahkamah Tinggi di sini hari ini sejurus mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menjalani baki hukuman pemenjaraannya di bawah tahanan rumah.

Walaupun cuaca semakin panas menjelang tengah hari, ratusan penyokong termasuk warga emas dilihat setia menunggu di luar kompleks mahkamah sambil melaungkan nama Najib dengan beberapa daripada mereka menitiskan air mata sebaik keputusan dibacakan.

Salah seorang penyokong Datuk Seri Najib Razak kelihatan sebak selepas keputusan semakan kehakiman titah adendum ditolak mahkamah tinggi di Kompleks Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 DISEMBER 2025

Difahamkan, penyokong hadir dari pelbagai negeri termasuk utara Semenanjung dengan sebahagian mereka menaiki bas sejak awal pagi.

Walaupun jelas kecewa, mereka masih setia menunggu di perkarangan mahkamah bagi menyaksikan kenderaan penjara membawa Najib meninggalkan kompleks mahkamah untuk kembali ke Penjara Kajang.

“Kita harap sangat keputusan membenarkan beliau jadi tahanan rumah kerana itu yang sepatutnya. Sedih sangat tapi ini bukan perjuangan terakhir,” kata seorang penyokong kepada MalaysiaGazette.

Terdahulu ketika prosiding, Hakim Mahkamah Tinggi, Alice Loke Yee Ching membuat keputusannya selepas meneliti hujahan semua pihak serta membaca alasan penghakiman selama hampir sejam.

Datuk Mohammad Nizar anak kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak hadir bagi mendengar Keputusan Titah Adendum di perkarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MUHAIMIN MARWAN, 22 DISEMBER 2025

Dalam penghakimannya, hakim berkenaan mendapati Titah Adendum yang menjadi asas permohonan semakan kehakiman itu tidak pernah dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan ke-61 yang diadakan pada 29 Januari tahun lalu.

“Untuk ditegaskan sekali lagi, Yang di-Pertuan Agong ialah seorang Raja Berperlembagaan dan menjalankan kuasa serta fungsinya selaras dengan peruntukan Perlembagaan. Pelaksanaan kuasa prerogatif pengampunan tidak terkecuali daripada prinsip ini,” kata beliau.

Menurut beliau, kuasa berkenaan mesti dilaksanakan dalam rangka perundangan yang menyediakan perlindungan dan had-had sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Perintah Adendum tidak dibincangkan atau diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61. Tiada pematuhan terhadap Perkara 42. Oleh itu, perintah tersebut bukan suatu perintah yang sah,” jelasnya.

Beliau turut memutuskan para responden tidak mempunyai kuasa serta kewajipan untuk mematuhi atau menguatkuasakan perintah berkenaan selain menegaskan pemohon juga tidak berhak mendapatkan perintah mandamus.

“Dalam keadaan ini, permohonan semakan kehakiman ini ditolak tanpa sebarang kos,” katanya.

Susulan keputusan itu, Najib akan terus menjalani baki hukuman penjara di Penjara Kajang sehingga tempoh hukuman tamat. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib kekal habiskan baki hukuman 3 tahun di Penjara Kajang

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast