Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir bagi keputusan berhubung kesahihan serta pelaksanaan Titah Adendum untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah ketika di Mahkamah Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 22 DISEMBER 2025. (GAMBAR FAIL).

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak kekal menjalani baki hukuman penjara tiga tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak semakan kehakimannya.

Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan demikian selepas berpuas hati isu berkaitan tahanan rumah tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat Lembaga Pengampunan yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.

Dengan keputusan itu, bekas Perdana Menteri itu gagal memaksa kerajaan menguatkuasakan titah adendum agar beliau dipindahkan ke kediamannya di ibu negara serta merta.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu sudah menjalani hukuman penjara lebih tiga tahun berkaitan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International sejak 23 Ogos 2022.

Bagaimanapun, Najib, 72, masih menanti keputusan bagi kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang akan diumumkan oleh Mahkamah Tinggi berlainan, Jumaat ini.

Pada asalnya, Najib dipenjara 12 tahun dan dikenakan denda RM210 juta namun hukuman itu dikurangkan kepada enam tahun dan denda RM50 juta selepas beliau mendapat pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Bekas Presiden UMNO itu kemudian memfailkan semakan kehakiman pada 1 April tahun lalu bagi memaksa kerajaan dan enam yang lain menguatkuasakan titah adendum bertarikh 29 Januari 2024 yang didakwa diperkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast