Tamim Dahari Abdul Razak.

KUALA LUMPUR – Persoalan utama dalam isu perobohan Kuil Murugan Kangkar Pulai bukan soal kepercayaan atau kesucian ibadat tetapi status pemilikan tanah, kuasa dan prosedur Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan tanggungjawab kerajaan negeri dalam penguatkuasaan.

Tindakan menyempitkan isu itu sebagai ‘tindakan tidak bermoral’ tanpa meneliti aspek undang-undang hanya satu cubaan untuk mengalihkan fakta, kata Pengasas TanahMalaya.Com, Tamim Dahari Abdul Razak.

Tanahmalaya.com adalah platform digital yang menggabungkan data tanah, peta interaktif dan analisis spatial untuk memudahkan masyarakat menilai status serta potensi sesuatu kawasan.

Menurut Tamim, kuasa MPKu yang tidak boleh dipertikaikan adalah tanah adalah perkara negeri.

Oleh itu, akauntabiliti utama terletak pada kerajaan negeri dan kepimpinan PBT, bukan kepada Ahli Parlimen yang tidak mempunyai kuasa pentadbiran ke atas PBT.

“Sekiranya benar terdapat kenyataan atau janji bahawa kuil tersebut “akan dilindungi”, persoalan yang perlu dijawab ialah atas kapasiti apa janji itu dibuat?

“Adakah ia disokong dengan kelulusan rasmi, pewartaan tanah atau keputusan Majlis Mesyuarat kerajaan negeri?” soalnya.

Isu perobohan Kuil Murugan Kangkar Pulai telah mencetuskan pelbagai kenyataan berbaur politik daripada Bersatu, MIC dan DAP Johor serta Pertubuhan Hindu Malaysia (Mahima).

Berhubung kenyataan Mahima yang menekankan pendekatan berhemah dan berperikemanusiaan, Tamim berkata, keharmonian jangka panjang hanya boleh dicapai jika garis panduan rumah ibadat jelas, seragam dan dikuatkuasakan secara adil.

Selain itu, tiada pihak membina atau mengekalkan struktur atas tanah tanpa status sah.

“Kerajaan bertindak awal, bukan selepas konflik tercetus. Kegagalan menguatkuasakan undang-undang secara konsisten hanya akan mengundang krisis berulang bukan keamanan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Perobohan kuil cetus kebimbangan, Mahima gesa cari penyelesaian

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast