Fadillah (dua dari kiri) dalam satu majlis anjuran TNB baru-baru ini.

KEMENTERIAN Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) terus membuktikan komitmen strategiknya dalam menjamin keselamatan bekalan air dan tenaga negara melalui pelaksanaan dasar, pembangunan infrastruktur berskala besar serta inovasi teknologi berimpak tinggi sepanjang tempoh 2024–2025.

Pencapaian merangkumi kedua-dua sektor ini bukan sahaja menyokong keperluan asas rakyat malah memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani perubahan iklim, pertumbuhan ekonomi dan tekanan urbanisasi.

Dalam sektor air, tujuh agensi di bawah PETRA yang dipimpin Datuk Seri Fadillah Yusof selaku menterinya memainkan peranan kritikal merangkumi pengawalseliaan, rawatan kumbahan, pengurusan sungai, bekalan air, penyelidikan serta pembiayaan infrastruktur.

Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), misalnya, memperluas pelaksanaan Water Efficiency Product Labelling Scheme (WEPLS) yang mencatat penjimatan penggunaan air sehingga 85 peratus bagi produk berlabel cekap air.

Inisiatif ini menyumbang kepada perubahan tingkah laku pengguna ke arah gaya hidup lebih mampan serta mengurangkan tekanan terhadap sumber air negara.

Indah Water Konsortium (IWK) pula terus memperkukuh sistem rawatan kumbahan melalui pengoperasian lebih 7,000 Loji Rawatan Kumbahan dengan kadar pematuhan efluen melebihi 97 peratus. Pelaksanaan Program Fats, Oils and Grease (FOG) berjaya mengurangkan gangguan aliran kumbahan di kawasan komersial manakala inisiatif Solar LRK menyumbang kepada penjimatan kos tenaga operasi sehingga 15 peratus.

Usaha penghasilan biopepejal sebagai produk mesra alam turut membuka potensi ekonomi kitaran dalam sektor pembetungan.

Prestasi keselamatan kerja dan inovasi kejuruteraan hijau menjadi tumpuan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) yang mencatat dua juta jam kerja tanpa Lost Time Injury.

Projek Multi-Pond Constructed Wetland System (MPCWS) bukan sahaja memenangi anugerah inovasi malah projek Papan di Johor mencatat dua rekod Malaysia Book of Records sebagai sistem tanah lembap buatan terbesar dan terpanjang, membuktikan keupayaan penyelesaian lestari untuk komuniti luar bandar.

Dalam memastikan keselamatan hidrologi negara, Fadillah yang juga Timbalan Perdana Menteri memastikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan lebih 149 projek tebatan banjir yang melindungi hampir 1.77 juta penduduk.

Usaha pemuliharaan sungai serta pembangunan Denai Sungai Kebangsaan turut memperkukuh fungsi ekologi dan rekreasi sungai. Di Sabah dan Labuan, Jabatan Bekalan Air (JBA) menyiapkan sembilan projek kritikal yang meningkatkan tekanan air serta kebolehpercayaan sistem agihan khususnya di kawasan pedalaman.

Dalam memastikan agenda itu tercapai, Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menjadi pemacu utama pembangunan infrastruktur air negara melalui penambahan rizab air, penggantian ribuan kilometer paip uzur serta pembinaan tangki air baharu. Penyiapan Projek Langat 2 Fasa 1 berkapasiti 1,130 juta liter sehari menandakan pencapaian penting dalam menjamin bekalan air jangka panjang Lembah Klang.

PAAB pengenalan teknologi kejuruteraan canggih seperti microtunneling dan pipe conveyor system turut mengangkat standard pembinaan infrastruktur air negara ke peringkat lebih tinggi.

Pada peringkat penyelidikan pula, Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) memperkukuh kajian bahan cemar baharu seperti PFAS dan mikroplastik, selain membangunkan GEO-PROTECT V2 bagi ramalan risiko banjir secara masa nyata. Kepakaran Malaysia dalam penyelidikan air turut diiktiraf di peringkat Asia melalui kerjasama antarabangsa.

Di bawah Fadillah juga, sektor tenaga menyaksikan kemajuan ketara sejajar agenda peralihan tenaga negara.

MyPOWER Corporation berjaya melengkapkan semua inisiatif Future-Proofing Malaysia Electricity Supply Industry, manakala SEDA Malaysia meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada lebih 3,400 megawatt serta mencatat penjimatan tenaga melebihi 339 gigawatt-jam.

Suruhanjaya Tenaga (ST) memperluas pelaksanaan Large Scale Solar 5+, pembangunan Battery Energy Storage System dan mencipta sejarah melalui eksport tenaga hijau pertama Malaysia ke Singapura.

Secara keseluruhan, pencapaian PETRA dalam sektor air dan tenaga memperlihatkan pendekatan menyeluruh yang merangkumi dasar, teknologi, tadbir urus dan pembangunan modal insan.

Inisiatif AIR2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) terus menjadi asas kepada usaha membina masa depan Malaysia yang selamat, berdaya tahan dan mampan demi kesejahteraan rakyat dan generasi akan datang.

Tahniah Datuk Seri Fadillah Yusof yang sentiasa memainkan peranan penting dan penggerak utama bagi memastikan NETR tercapai.

Dr. Syed Agil Alsagoff

Oleh Dr. Syed Agil Alsagoff
Pensyarah Kanan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast