KUALA LUMPUR – Tindakan segelintir pemimpin DAP dan PKR menyindir rakan sendiri berkait dengan semakan kehakiman titah adendum hanya melemahkan perpaduan dan kerjasama politik dalam Kerajaan Perpaduan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, sindiran mahupun ejekan itu boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap integriti dan kredibiliti parti yang membentuk kerajaan campuran hari ini.
“Politik yang matang seharusnya berasaskan prinsip hormat-menghormati, kerjasama, dan kesepakatan demi kebaikan bersama,” katanya menerusi satu kenyataan kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu, Ahli Parlimen DAP, Yeo Bee Yin memuat naik hantaran berbunyi; ‘Satu lagi sebab untuk meraikan hujung tahun ini’ bersama pautan berita portal mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan semakan kehakiman Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan Titah Adendum hari ini.
Hantaran tersebut dimuat naik beberapa jam selepas Hakim Alice Loke Yee Ching memutuskan Titah Adendum tidak pernah dibincang mahupun diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan ke-61 yang bersidang pada 29 Januari tahun lalu.
Zaidy yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan berkata, sudah sampai masanya Barisan Nasional (BN) memperhalusi semula kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan susulan sindiran biadab dua pemimpin Pakatan Harapan (PH).
“Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 akan menjadi medan utama untuk menentukannya.
“Perbincangan dan keputusan yang bakal dibuat dalam PAU 2025 akan menentukan hala tuju perjuangan parti, kesinambungan sokongan kepada Presiden dan strategi politik untuk memastikan integriti parti kekal terpelihara,” katanya.
Selain itu, kata Zaidy, keputusan mahkamah yang menyedihkan itu wajar dijadikan penguat semangat untuk memperkukuh perpaduan, meningkatkan kesedaran politik dan komitmen ahli UMNO untuk terus berdiri teguh menentang ketidakadilan.
“Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, tekanan politik, dan kritikan, perjuangan untuk membela Bossku tetap diteruskan.
“Ahli UMNO dan rakyat yang prihatin akan terus menuntut keadilan, memastikan maruah, integriti dan prinsip perjuangan tidak tergugat.
“Sokongan terhadap Bossku kekal konsisten dan berprinsip, dengan tekad untuk menegakkan kebenaran demi rakyat, parti, dan masa depan politik negara,” katanya.
Kata Zaidy lagi, mana-mana ahli UMNO yang terlibat dalam siri pengkhianatan terhadap bekas perdana menteri itu sehingga beliau dipenjarakan perlu memikul tanggungjawab moral dan politik.
“Pengkhianatan mereka telah memberi ruang kepada pihak lawan menyerang integriti Presiden dan parti UMNO dan seterusnya menimbulkan tohmahan dalam kalangan akar umbi,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















